Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prabowo dianugerah gelaran lebih tinggi dari Datuk Seri
Diterbitkan:  Jan 27, 2025 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam penampilan bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini berkata "rakan setianya" itu kini membawa gelaran yang lebih tinggi daripada gelarannya sendiri.

"...lebih tinggi daripada 'Datuk Seri'," kata Anwar yang tersenyum sambil mencelah ketika Prabowo mendedahkan bahawa dia telah menerima gelaran daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sidang media bersama itu dibuat selepas pertemuan antara kedua-dua pemimpin, bersama delegasi menteri.

Dalam ucapannya, Prabowo yang menyatakan rasa terima kasih di atas anugerah itu turut mengenang secara ringkas zaman persekolahannya di Kuala Lumpur.

Awal hari ini Sultan Ibrahim menganugerahkan Prabowo denganDarjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati I pada majlis yang diadakan di Istana Negara.

“Yang Mulia Bapak Prabowo merupakan sahabat karib Seri Paduka Baginda yang dikenali lebih 40 tahun, sejak zaman latihan ketenteraan di Amerika Syarikat pada tahun 1980-an,” menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Dalam ucapan ringkasnya, Anwar menyatakan bahawa lawatan Prabowo dijadualkan atas jemputan Sultan Ibrahim.

“Seperti yang anda semua sedia maklum, Presiden Prabowo telah dianugerahkan penghormatan tertinggi negeri Johor di Istana Negara.

"Ini menandakan persahabatan dan ikatan kekeluargaan dengan keluarga Sultan Ibrahim, dan sudah tentu, kami gembira dengan perkembangan ini, yang mencerminkan keunikan dan sifat istimewa persahabatan dan hubungan yang tidak berlaku antara mana-mana negara lain," katanya.

“Jadi sekali lagi, bagi pihak saya dan keluarga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sahabat dan saudara saya, Prabowo Subianto, yang telah menemani saya melalui susah dan senang.

“Ini antara sahabat setia saya yang sentiasa mengambil berat dalam masa duka saya yang panjang.

“Tidak ramai yang kita boleh kata kehebatan dan keikhlasannya, dan saya senaraikan Prabowo Subianto antara yang terkecuali, kerana kedekatan dan kesungguhannya, sehingga menimbulkan rasa tidak senang dan kemarahan pihak tertentu ketika itu,” kata Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS