Dua pegawai perubatan di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah dituduh melakukan buli dan perkauman terhadap doktor pelatih, yang dikongsi dalam satu catatan media sosial yang telah tular.
Ketika dihubungi, Kementerian Kesihatan berkata isu itu dirujuk kepada Unit Integriti untuk siasatan, dan menggesa pihak berkaitan membuat laporan rasmi mengenai isu itu dalam sistem MyHelp untuk membantu siasatan.
"Perlakuan buli dalam apa jua bentuk dan kategori tiada tempat dalam KKM. KKM mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap buli dan kerana ini bertentangan dengan hasrat untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan adil untuk semua.
"Tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib akan diambil ke atas pelaku sekiranya kesalahan dapat dibuktikan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Siaran yang dibuat oleh akaun Instagram @mydoctortoday dua hari lalu, menunjukkan tiga tangkapan skrin perbualan teks yang didakwa antara dua pegawai perubatan di HQE.
Dalam satu kejadian, salah seorang pegawai perubatan yang didakwa berkata mereka telah membuat doktor pelatih bekerja lewat sehingga dia menangis.
Tangkap layar perbualan WhatsApp itu juga memaparkan bahawa pegawai itu berkata doktor pelatih berkenaan tetap tidak cekap meski dilayan dengan baik, justeru, katanya lebih baik melayannya dengan buruk.
Dalam tangkapan skrin lain, ia menunjukkan bahawa pegawai perubatan yang dikatakan bersikap perkauman dengan membincangkan warna kulit doktor pelatih yang didakwa tidak cekap.
Apabila seorang pegawai perubatan berkongsi emoji lelaki berkulit gelap berserban, pegawai perubatan yang lain menjawab: "Ya, warna yang sama."
Gambar perbualan WhatsApp itu kelihatan ditangkap pada skrin komputer.
Setakat jam 4 petang hari ini, siaran itu telah menarik lebih 1,000 suka, 32 komen dan dikongsi lebih 1,300 kali.
Keterangan pada hantaran media sosial itu juga mendakwa bahawa pegawai perubatan berkenaan telah membuli doktor pelatih dari etnik tertentu, dengan membuat kerja melepasi tengah malam sementara yang lain dibenarkan pulang.
“Budaya toksik dan perkauman KKM masih wujud sehingga abad ke-21,” tulis moderator akaun Instagram itu.
Tangkapan skrin berasingan juga mendakwa bahawa doktor pelatih diberitahu untuk melaporkan diri untuk bekerja walaupun diberikan cuti perubatan kerana demam.
"Hanya demam biasa tanpa sebarang punca bukan alasan untuk MC. Anda boleh mengambil paracetamol dan datang bekerja," kata pegawai perubatan itu, merujuk kepada beban kerja yang tinggi di wad.
"Kasihan pegawai perubatan yang akan menjaga (wad) seorang diri. Cubalah bertimbang rasa. Jika benar-benar sakit, perlukan MC. Jika tidak sila ambil perhatian," kata tangkapan skrin itu.
Akaun Instagram, yang mendakwa ia sebagai Rangkaian Doktor Muda, mempunyai lebih daripada 2,000 pengikut.
Akaun itu juga mendakwa bahawa ia "platform untuk berkongsi berita dan acara terkini di kalangan doktor Malaysia".
Akaun itu juga menamakan dua pegawai perubatan itu, bagaimanapun Malaysiakini tidak mendedahkan identiti mereka sementara menunggu maklum balas.
Malaysiakini juga telah menghubungi Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, Pengarah Kesihatan Sabah Dr Maria Suleiman dan Pengarah Hospital Queen Elizabeth Dr William Gotulis untuk mengulas.
Pada 29 Ogos tahun lalu, kematian seorang pakar patologi Dr Tay Tien Yaa di Lahad Datu, Sabah, yang dikatakan bunuh diri kerana dibuli ketua jabatannya, tular di media sosial.
Perkara ini didedahkan oleh adik mangsa, yang mendakwa kakaknya dianiaya dan berdepan tekanan daripada beban kerja di unit itu.
Bagaimanapun, siasatan bebas yang menyiasat kematian itu mendapati kematiannya tidak melibatkan isu buli atau beban kerja yang berlebihan.
Pengerusi siasatan Borhan Dolah berkata dakwaan mendiang ditekan, ditindas atau dibuli oleh ketua jabatannya adalah tidak berasas.
Selepas pengumuman siasatan itu, Dzulkefly berjanji kementeriannya akan mengambil tindakan segera berdasarkan penemuan itu dan berkata mereka telah mengenal pasti tindakan berkaitan sumber manusia untuk menangani isu beban kerja.
Menurut Dzulkefly, kementeriannya akan berusaha melaksanakan langkah menambah baik persekitaran kerja kakitangan perubatan.
Buli masih berleluasa
Pada tahun 2023, dapatan daripada tinjauan ke atas doktor Malaysia yang dijalankan oleh bahagian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai doktor pelatih, pegawai perubatan dan pakar (Schomos) dan rangkaian doktor mudanya (JDN) mengesahkan lagi bahawa buli dan gangguan di kemudahan penjagaan kesihatan adalah berleluasa.
Artikel yang ditulis oleh presiden MMA ketika itu Azizan Abdul Aziz mendapati bahawa 30 hingga 40 peratus doktor di seluruh negara melaporkan pernah mengalami beberapa bentuk buli.
Tinjauan itu juga mendapati bahawa mangsa cenderung untuk tidak memfailkan aduan kerana takut atau tidak pasti bagaimana untuk melakukannya. Walaupun mereka melakukannya, tiada tindakan diambil.
Sebanyak 253 kes buli dilaporkan dalam tinjauan itu dengan tertinggi dilaporkan di Sarawak (15), Selangor (sembilan) dan Perak (lapan).
Bagaimanapun, 197 kes adalah dari negeri yang tidak diketahui. Sabah dan Melaka tidak mempunyai kes buli yang disahkan mengikut tinjauan itu.
Buli turut memberi kesan kepada doktor dalam semua peringkat dengan 168 pegawai perubatan terjejas manakala 50 peratus doktor pelatih dan pakar melaporkan perkara yang sama.