Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan Penjara: Provokasi punca kekecohan di di Penjara Taiping
Diterbitkan:  Jan 27, 2025 4:27 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Jabatan Penjara mendakwa kekecohan yang berlaku di Penjara Taiping di Perak disebabkan oleh provokasi.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu mendakwa bahawa kejadian itu melibatkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke penjara berkenaan.

"Laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian provokasi tersebut dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, laporan itu difailkan pada 17 Jan.

Bagaimanapun, jabatan itu tidak memberikan butiran lanjut tentang sifat provokasi itu.

Ini susulan mesej tular minggu lalu oleh akaun Edisi Siasat di Telegram, yang mendakwa seorang banduan meninggal dunia selepas berlaku pertengkaran di Penjara Taiping antara 16 Jan dan 17 Jan.

Jabatan Penjara turut memberi jaminan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya kecuaian atau kelemahan prosedur didapati semasa melaksanakan tugas.

"Jabatan Penjara memohon kerjasama daripada orang awam agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian tersebut," tambahnya.

‘Lebih 100 terlibat, 1 maut’

Awal hari ini, peguam Shamser Singh Thind mendakwa bahawa insiden melibatkan lebih 100 banduan berlaku di Penjara Taiping pada 17 Jan, di mana seorang banduan didakwa meninggal dunia akibat kecederaan.

Dalam catatan Facebook, Shamser, seorang ahli pasukan undang-undang Urimai, mendakwa banduan ditembak dengan gas pemedih mata dan dipukul oleh pegawai penjara, dengan butiran kejadian itu dirahsiakan daripada keluarga mereka.

Shamser, diiringi tiga anggota Urimai - P Ramasamy, David Marshel, dan Satees Muniandy - mengadakan sidang media di hadapan penjara pagi ini.

“Apabila mereka (keluarga banduan) datang ke penjara untuk melawat mereka (banduan) selepas kejadian, tiada pertemuan dibenarkan atas dasar banduan perlu dikuarantin atas sebab yang tidak diketahui.

"Jadi keluarga menghubungi Urimai untuk mendapatkan bantuan," tambahnya.

Shamser turut berkongsi tiga gambar dalam catatan Facebooknya, termasuk satu menunjukkan sepanduk yang menuntut keadilan untuk individu bernama Gan Chin Eng.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS