Seorang pengguna Facebook yang didakwa membuat kenyataan menghina Islam dan tidak sensitif semasa meninggalkan komen di bawah hantaran media sosial Harith Iskander hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka.
Kata Cecelia Yap Song KL dia juga berjanji untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan ke atasnya.
“Saya, Cecelia Yap Song KL, dengan ini memohon maaf kepada semua yang terguris hati dengan komen saya di laman Facebook Harith Iskander terutamanya kepada rakan-rakan Islam yang amat dihormati (saudara-saudari).
"Saya amat kesal dengan komen tidak sensitif saya yang menyakitkan perasaan semua orang.
"Saya berjanji tidak akan mengulangi tindakan saya pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan terbuka yang dikeluarkan melalui peguamnya, M Visvanathan, hari ini.
Terdahulu Visvanathan memberitahu wanita terbabit sudah memberi keteranngan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pagi tadi.
Katanya pertemuan wanita berkenaan dengan pihak berkuasa berlangsung di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
"Saya bawa dia untuk dirakam kenyataannya hari ini. Ia baru sahaja selesai di Bukit Aman," katanya kepada Malaysiakini.
PDRM ketika sedang menjalankan siasatan ke atas Harith Iskader dan wanita berkenaan yang diadukan kepada pihak berkuasa oleh seorang ahli Umno Kluang, Shahrol Azizie Azmi.
Harith Iskander sebelum ini membuat hantaran sinikal berhubung isu ham yang menjadi perhatian ramai. Pelawak terbabit secara berjenaka menggunakan gambar kopi diiringi kapsten "Ham Sap Kopi."
Untuk rekod dalam bahasa Kantonis, kopi ham sap boleh diertikan sebagai kopi masin yang mungkin disebabkan oleh campuran bahan tertentu - seperti mentega atau sejenis susu - dalam minuman tersebut.
Ham sap juga boleh membawa maksud perilaku seseorang yang suka menggatal atau mengambil kesempatan ke atas orang lain.
Visvanathan menambah dia berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama dalam isu berkenaan agar proses siasatan pihak polis dapat dilaksanakan dengan selamat mengikuti lunas undang-undang.
"Kami juga menyeru semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang negara berkenaan perkara ini," katanya.
Pada 24 Jan lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dipetik media sebagai berkata polis sudah selesai merekodkan kenyataan Harith Iskander dan pada masa sama sedang mengesan seorang pengguna Facebook lain.