Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu berikrar akan mengambil tanggungjawab terhadap desakan pesawah yang meminta kerajaan mengkaji semula harga lantai padi, selain melibatkan diri secara langsung dengan isu-isu lain yang melibatkan komuniti tersebut.
"(Berhubung pesawah hantar) memorandum kepada pejabat perdana menteri.
“Menteri akan ambil tanggungjawab turun ke Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda), Kada (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) dan lain-lain tempat.
"(Kerajaan akan adakan) sesi libat urus berterusan dengan penanam padi," katanya menerusi mesej ringkas kepada pemberita.
Lebih 200 pesawah dari seluruh negara berkumpul di hadapan ibu pejabat KPKM di Putrajaya pagi tadi bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap dua isu utama; harga lantai padi yang dianggap tidak relevan; dan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman yang didakwa membebankan petani kecil.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Abdul Rashid Yob berkata kos yang meningkat untuk diesel dan benih padi menyebabkan harga lantai semasa tidak lagi mencukupi untuk menampung kehidupan pesawah.
"Harga lantai ketika ini sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos berkaitan diesel dan benih padi," tegasnya.
Sementara itu, dia turut menyatakan kebimbangan mengenai RUU Kualiti Benih Tanaman yang dikatakan digubal tanpa perundingan bersama pesawah.
"RUU itu dilihat akan membebankan petani-petani kecil," tambah Abdul Rashid.
Pada November lalu, Mohamad Sabu memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa penggubalan RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum diteruskan ke peringkat Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, pesawah berpendapat langkah ini memerlukan perbincangan lebih mendalam untuk memastikan tidak menjejaskan golongan petani kecil.
Demonstrasi yang pada asalnya dirancang berlangsung di hadapan bangunan Komleks Seri Perdana di Putrajaya telah dipindahkan ke ibu pejabat KPKM bagi menghormati lawatan negara Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Langkah ini diambil untuk memastikan perhimpunan aman tersebut tidak mengganggu protokol dan perjalanan rasmi lawatan kenegaraan.