Peguam veteran, Muhammad Shafee Abdullah tidak mengalami kerosakan reputasi yang cukup untuk membolehkannya menuntut ganti rugi RM2 juta daripada Badan Peguam Malaysia, menurut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam kepada Badan Peguam Malaysia, Andrew Chiew, berhujah hari ini bahawa Shafee sebenarnya terlibat dalam banyak kes mahkamah berprofil tinggi.
Badan Peguam Malaysia menyangkal tuntutan Shafee yang berkait dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2015, di mana terdapat percubaan untuk membentangkan usul membincangkan tata caraya, susulan kes liwat 2 melibatkan ketua pembangkang ketika itu, Anwar Ibrahim.
Usul tersebut menumpukan kepada tingkah laku Shafee sebagai timbalan pendakwa raya ad hoc dalam rayuan kes Anwar di Mahkamah Persekutuan.
Shafee didakwa melanggar peraturan profesion guaman yang melarang peguam daripada mempromosikan diri sendiri.
Usul itu juga mendakwa Shafee menghadiri siri jelajah seluruh negara untuk menghina banduan yang disabitkan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan Anwar yang kini perdana menteri ke-10 Malaysia.
"Tiada bukti kerosakan reputasi yang memberi kesan kepada pendapatan dikemukakan, dan apabila tiada bukti seperti itu, ia tidak boleh digunakan untuk menyokong tuntutan RM2 juta," hujah Chiew di hadapan Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Hakim mahkamah sivil itu mendengar penilaian ganti rugi untuk diberikan kepada Shafee berkaitan tuntutan yang dimenanginya dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Sebagai balasan, Shafee berhujah dia telah memberikan keterangan yang mencukupi dalam prosiding mahkamah sebelum ini untuk menyokong dakwaannya tentang kerosakan reputasi akibat insiden 2015 tersebut.
Shafee juga menegaskan dia telah mendapatkan diagnosis doktor yang menunjukkan dia menghidap masalah jantung akibat tekanan susulan insiden itu.
Hakim Shahrir menetapkan 14 April sebagai tarikh keputusan mengenai pampasan yang akan dibayar kepada Shafee.
Pada Mac 2015, tidak lama selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam Malaysia yang akhirnya tidak membentangkan usul tersebut kerana perintah sekatan yang diperoleh oleh Shafee, dia memfailkan tindakan saman sivil terhadap badan peguam itu.
Sebelum itu, pada 10 Februari tahun yang sama, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara.
Anwar kemudian diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.
Pada peringkat awal, tuntutan Shafee ditolak di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, pada Oktober 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Shafee dan memutuskan Badan Peguam Malaysia melanggar kewajipan statutori dengan menerbitkan usul tersebut di laman webnya menjelang AGM pada Februari 2015.
Mahkamah tertinggi kemudian menghantar kes itu kembali ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi.
Dalam proses penilaian ganti rugi, Shafee menuntut pampasan RM2 juta.
“Oleh itu, saya dengan rendah hati berharap agar mahkamah yang mulia ini memberikan ganti rugi dalam jumlah minimum global kepada saya sebanyak RM2 juta dalam bentuk ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi punitif/teladan dan ganti rugi yang timbul daripada kehilangan peluang, dan apa-apa ganti rugi lain yang wajar kerana kesalahan besar telah dikenakan ke atas saya oleh tindakan pendendam dan berniat jahat mereka dengan tidak menghiraukan hak saya dan peruntukan undang-undang.
"Ini telah mengakibatkan tekanan mental, fizikal dan kewangan yang hebat ditambah dengan penghinaan, kecederaan kepada maruah saya," kata Shafee dalam kenyataan saksi setebal 22 muka surat yang difailkan pada 17 Julai 2023.
Shafee mendakwa usul AGM tersebut melanggar Akta Profesion Guaman 1976, sekaligus menjejaskan kebebasannya untuk mengamalkan undang-undang dan memberi kesan buruk terhadap mata pencariannya.
"Hakikat bahawa litigasi saya dengan defendan (Badan Peguam) berterusan dan saya terpaksa mempertahankan diri menyebabkan gangguan kepada beban kerja harian saya.
"Pelanggan juga menyedarinya melalui laporan media, artikel dalam talian, dan perbualan lisan tentang usul yang menentang saya dan dijadualkan dibentangkan di AGM, yang turut memberi kesan kepada pendapatan saya," dakwanya.
Semasa soal balas oleh Chiew pada Ogos 2023, Shafee bagaimanapun mengakui dia masih sempat terlibat dalam pelbagai kes berprofil tinggi antara 2015 dan 2022.
Antara kes tersebut termasuk rayuan bekas menteri besar Selangor Khir Toyo pada 2015 berhubung hukuman penjara 12 bulan melibatkan pembelian banglo dan dua lot tanah; kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak; dan perbicaraan jenayah melibatkan pembunuhan ketua pegawai eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Prosiding Lembaga Disiplin Peguam dan Peguambela terhadap Shafee mengenai tata caranya masih berjalan sejak 2015.