Dikemas kini dengan tambahan pengakuan khilaf Razman.
Seorang lagi pemimpin PAS mencipta kontroversi berkaitan pertalian darah pemimpin DAP.
Terbaru Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai “anak YTL”.
"Hannah Yeoh anak orang kaya, anak YTL. YTL ini dulu Perak Hanjoong (Simen).
“Kecerdikan Umno dulu, minta maaflah, kecerdikan Umno dulu pergi jual Perak Hanjoong ini kepada YTL.
“Hannah Yeoh ini anak dialah,” katanya.
Menurut laman web YTL Community, Kumpulan YTL diasaskan oleh mendiang Yeoh Tiong Lay.
Anaknya Francis Yeoh Sock Ping kini menjadi pengerusi eksekutif.
Hannah di media sosial menepis dakwaan Razman dengan berkata, “bukan semua Yeoh ada pertalian keluarga.”
Setiausaha sulit Hannah, Nor Miswary Ramli pula memuat naik video tersebut sambil mendakwa orang PAS sering tidak meneliti fakta dalam membuat tuduhan.
"Akal orang PAS ni, asal nama sama, mesti ada kaitan. Membaca malas,” ciapnya di X.
Sementara itu, dalam perkembangan terkini Razman di media sosialnya mengaku terkhilaf.
Malaysiakini sudah menghubungi Hannah, dan Kumpulan YTL untuk komen dan masih menunggu maklum balas mereka.
Anggota Parlimen Kepala Batas daripada PAS Siti Mastura Muhammad baru saja membayar lebih RM830,000 kepada peguam tiga pemimpin DAP setelah kalah saman dalam kes yang hampir serupa.
Pada 4 Dis tahun lalu mahkamah memerintahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Siti Mastura turut diarah membayar kos guaman sebanyak RM25,000 kepada setiap seorang plaintif terbabit.
Siti Mastura (gambar atas) yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Dewan Muslimat PAS Pusat itu disaman selepas membuat dakwaan Kit Siang, Guan Eng dan Kok mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, serta bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Satu kempen mengumpul derma dalam kalangan ahli PAS dan penyokong mereka kemudian digerakkan bagi membolehkan Siti Mastura membayar denda yang dikenakan ke atasnya.
Pada 28 Dis Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan oleh ahlinya namun menegaskan bahawa Islam "tetap menolak perjuangan yang sesat."
Dia juga menegaskan PAS tetap beristiqamah bersama "akidah perjuangannya" dan percaya kepada keampunan Allah serta pahala daripada bertaubat.
"Inilah perkara yang tidak terdapat dalam perjuangan yang lain selain daripada perjuangan Islam.
"Percayalah bahawa sumbangan kita bersama Islam dalam semua perkara adalah jihad," katanya.
Abdul Hadi kemudian menegaskan sekularisme dosa yang lebih besar daripada fitnah dan pembunuhan.
BACA BERKAITAN:
ULASAN | Dosa sekularisme lebih besar dari fitnah dan membunuh