PAS menafikan dakwaan parti itu 'menunggang' isu titah tambahan (adendum) Yang di-Pertuan Agong terkait Najib Razak kerana berpendapat ada kesempatan lain yang boleh dimanfaatkan mereka jika bertujuan menjadi keuntungan.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata berbanding isu adendum berkenaan, adalah lebih baik jika parti itu 'menunggang' Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Katanya, 'menunggang' Anwar jauh lebih menguntungkan PAS malah mungkin boleh mendatangkan hasil RM4 juta setahun.
“Daripada tunggang (isu adendum) Najib Razak, lebih baik tunggang Anwar Ibrahim, dapat juga RM4 juta setahun sebagai wakil rakyat.
"Sekarang bukan setakat RM4 juta, RM4 pun tidak dapat,” katanya yang dipetik Harakahdaily semasa dia berceramah di Pasir Puteh, Kelantan.
Dakwa Idris, PAS tidak mempunyai sebarang kepentingan apabila tegas memperjuangkan adendum melibatkan bekas perdana menteri dan menteri besar Pahang itu.
Matlamat PAS, dakwa Idris, ialah mahu agar orang Melayu dan Islam dapat bersama-sama di bawah agenda penyatuan ummah digagaskan sebelum ini antara PAS, Bersatu dan Umno.
“Kalau kami nak kepada kepentingan, atas asas kami nak kesenangan, lebih baik kami 'tunggang' orang yang ada kuasa. Ini PAS tau, PAS, kami bukan parti opportunist, kami parti yang ada prinsip.
“Kebenaran itu kawan kita walaupun yang dibawa itu musuh, kebatilan itu musuh kita walaupun yang memperjuangkan itu kawan kita.
"Kita ada prinsip dari al-Quran dan sunnah,” katanya.
Dia yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, PAS juga mengambil pendirian sama menyatakan sokongan kepada Anwar ketika dia dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998.
“Kalau kami ada kepentingan dunia, waktu kamu (Anwar) dipecat daripada Umno pada 1998, lebih baik kami tunggang Tun Mahathir (Mohamad)daripada tunggang kamu.
"Lebih baik kami senang, kami tunggang Tun Abdullah Badawi, kami tunggang Najib, daripada kami tunggang kamu.
"(Sebaliknya) kami dipukul polis, ada kalangan kami ada dibuang kerja, kontrak dipotong, ditukar tempat kerja waktu kami tunggang kamu,” katanya lagi, merujuk kepada hubungan PAS bersama PKR sebelum ini.