Lebih 200 pesawah dari seluruh negara berkumpul di hadapan ibu pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Putrajaya hari ini bagi mendesak kerajaan mengkaji semula harga lantai padi.
Mereka turut menggesa menyatakan bantahan terhadap Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman yang didakwa dirangka tanpa perundingan dengan petani.
Bercakap dengan pemberita, pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) Abdul Rashid Yob mendakwa harga lantai ketika ini sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos berkaitan diesel dan benih padi.
"Kami para pesawah dari seluruh semenanjung Malaysia datang hari ini untuk berbincang dan menuntut dua isu utama.
"Yang pertama kami menggesa kerajaan untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800. Harga lantai ketika ini sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos berkaitan diesel dan benih padi.
"Kenaikan harga padi ini penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalan makanan negara. Harga lantai pada ketika ini telah ditetapkan pada tahun 2023 dan sudah ketinggalan zaman serta tidak lagi relevan dengan keadaan semasa berikutan kenaikan kos diesel dan benih," katanya.
Sementara berhubung RUU Kualiti Benih Tanaman, Abdul Rashid berkata RUU itu dilihat akan membebankan petani-petani kecil.
"RUU ini akan mewajibkan setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperolehi lesen dan menghantar sampel benih ke makmal untuk ujian pengesahan.
"Berikutan peningkatan kos bersawah, kelewatan bekalan benih yang sering berlaku dan kemerosotan kualiti benih padi sah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hampir 30% pesawah sudah mula memproses, berkongsi dan menjual benih padi dari sawah mereka sendiri untuk menjimatkan kos dan mendapat pendapatan tambahan secara kecil-kecilan.
"Kami membantah sekeras-kerasnya cadangan RUU ini," katanya.
Pada Nov Menteri KPKM Mohamad Sabu ketika berucap di Dewan Rakyat memberitahu bahawa bahawa penggubalan RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Katanya, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat RUU yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul pada 18 Julai tahun lepas.
Tambahnya, Jabatan Pertanian juga bersedia untuk membentangkan kesan pindaan akta dan penggubalan rang undang-undang itu kepada mana-mana pertubuhan petani sekiranya diperlukan.
RUU juga memperuntukkan denda bernilai RM100,000 dan tiga tahun penjara kepada penyimpan dan pengedar benih yang tidak mempunyai lesen.
Terdahulu, 10 wakil pesawah memberi memorandum kepada setiausaha politik perdana menteri, Chan Ming Kai di Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.
"Dalam perjumpaan dengan setiausaha politik perdana menteri bersetuju secara dasar dengan permintaan kami.
"Beliau juga berkata Pejabat Perdana Menteri (PMO) akan mengadakan perjumpaan dengan pihak berkenaan untuk membincang isu-isu yang kami bangkitkan," katanya.
Bantahan akan dirujuk ke kementerian terlibat
Ketika ditanya, Chan memberitahu pemberita bahawa PMO akan membawa perkara-perkara yang dibangkitkan pesawah kepada kementerian berkaitan.
"Kita akan hantar kementerian berkenaan untuk tindakan," kata Chan.
Demonstrasi hari ini yang pada awalnya dicadang mengadakan di hadapan bangunan Seri Perdana ditukar ke bangunan KPKM supaya tidak mengganggu perjalanan lawatan negara Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Malaysia.
Perhimpunan yang bermula 10 pagi itu, turut dihadiri wakil Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan wakil mahasiswa.
Dalam demonstrasi kira-kira sejam itu dan sambil mengibarkan sepanduk antaranya tertera “Petani bukan pemalas”, “Naikkan harga lantai RM1800”, “Mahasiswa untuk petani”, “Peluh petani bukan percuma” dan “Kami bantah RUU benih”