Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
COO ProLintas didakwa terima suapan RM70,000 projek Suke
Diterbitkan:  Jan 27, 2025 11:50 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Ketua Pegawai Operasi ProLintas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM70,000 daripada syarikat pembinaan berhubung projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (Suke), dua tahun lepas.

Rostam Shahrif Tami, 59, didakwa menerima suapan itu daripada Syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd melalui Mohd Rosman Alias sebagai upah bagi dirinya yang merupakan Wakil Pegawai Penguasa bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Suke.

Ia sebagai dorongan untuk memberikan kerja No. 3 bertajuk To Construct End Cap Stressing And Shear Block dan To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing kepada syarikat itu bagi Pakej CA3 (CH4200 To CH7800).

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di hadapan tempat letak kereta sebuah masjid di Jalan Damai, Kampung Datuk Keramat, di sini pada 12 April 2023, sehubungan dengan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS