Calon DAP dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan datang tidak akan bertanding di bawah logo Warisan sebagaimana pilihan raya negeri sebelum ini.
Malah, DAP mungkin akan bertembung dengan Warisan di sekurang-kurangnya dua kerusi.
Pada pilihan raya Sabah 2020, kedua-dua kerusi berkenaan dimenangi oleh DAP. Namun, dua wakil rakyat yang terpilih – Calvin Chong dan Justin Wong – keluar parti pada Januari 2022 dan kemudiannya menyertai Warisan pada Mac tahun sama.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengesahkan parti itu akan bertanding di sekurang-kurangnya enam kerusi, termasuk Elopura dan Sri Tanjung.
Loke berkata DAP masih belum membuat keputusan sama ada akan menggunakan logo parti sendiri atau logo Pakatan Harapan dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
"Sama ada menggunakan logo PH atau 'Rocket', ia belum dimuktamadkan dan akan diputuskan oleh DAP Sabah," kata Loke seperti dipetik Oriental Daily semalam.
Menurut Loke, perbincangan mengenai kerjasama pilihan raya negeri antara PH Sabah dan BN masih belum mencapai kata sepakat walaupun terdapat perbincangan awal.
Dewan Undangan Negeri Sabah mesti dibubarkan selewat-lewatnya pada 9 Oktober, yang bermakna pilihan raya negeri mesti diadakan selewat-lewatnya pada 9 Disember.
Pada masa ini, GRS dan BN sedang bersaing untuk bekerjasama dengan PH pada pilihan raya tersebut.