Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar minta himpunan pesawah tak ganggu lawatan Prabowo

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta himpunan pesawah dari seluruh negara yang dilaporkan akan berlangsung di Putrajaya esok, supaya tidak mengganggu perjalanan lawatan negara Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Malaysia.

Anwar berkata beliau tidak menghalang himpunan itu diadakan, namun ia seharusnya ditetapkan pada masa dan situasi yang sesuai.

“Esok (hari ini) kita ada tetamu negara Presiden Prabowo Subianto, dalam lawatan negara khas atas undangan Yang di-Pertuan Agong dan saya, dan ada perjumpaan berikutnya di Putrajaya.

“Saya tidak menghalang adakan pertemuan nak serah memo kepada Menteri Pertanian.. silakan, tetapi buat urusan, tetapkan masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis Syarahan Perdana Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut laporan media lebih 1,000 pesawah dari seluruh negara akan berkumpul di Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri esok berkaitan tuntutan supaya harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.

Perdana Menteri berkata beliau tidak setuju sama sekali diadakan apa-apa perhimpunan yang mengganggu urusan lawatan berkenaan dan meminta kumpulan pesawah itu untuk menghubungi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Anwar berkata beliau juga telah meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain untuk mengawal perhimpunan berkenaan.

“Sebaiknya, saya minta elak (perhimpunan). Kita kalau mahu jumpa, nak bantah, nak ada perhimpunan aman, silakan, tetapi janganlah ambil kesempatan itu untuk mengganggu majlis rasmi yang melibatkan negara sahabat,” katanya.

Prabowo akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia hari ini, yang mencerminkan hubungan persahabatan kukuh dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata ia merupakan lawatan negara pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS