Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan yakin mampu pimpin PN kuasai kerajaan P Pinang
Diterbitkan:  Jan 26, 2025 3:30 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Selepas dianggap 'gagal' memberi nilai tambah kepada gabungan PN di Pulau Pinang, hari ini Gerakan menegaskan bahawa pihak yang berkenaan memahami realiti politik negeri itu untuk mengetahui keadaan sebenar.

Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam (gambar), berkata parti itu sentiasa memperjuangkan agenda bangsa Malaysia dan menolak ketuanan mana-mana kaum.

Dalam kenyataan hari ini, Wendy berkata Gerakan pernah mentadbir Pulau Pinang dengan naratif tersebut walaupun ada pihak melabelkan mereka sebagai parti orang Cina.

"Gerakan juga mengingatkan semua pihak agar bergerak ke hadapan kerana kita perlukan pendekatan komprehensif, dengan menolak identity supremacy," katanya.

Mengenai sumbangan Gerakan menarik pengundi Cina di Pulau Pinang, Wendy berkata pihak yang mengkritik mereka perlu bertanya kepada komuniti terbabit kerana ada peratus tertentu yang berpendapat parti itu memiliki daya saing tersendiri.

Di mata mereka juga, katanya, Gerakan dilihat sentiasa bersuara untuk penduduk Pulau Pinang.

"Cuba tengok pola keputusan PRK DUN Sungai Bakap, baca surat khabar Cina, fahami mengapa ada pergerakan yang berpendapat politik Gerakan lebih bersih daripada politik DAP yang kini dilanda banjir politik nepotisme.

"Kami juga percaya dengan sokongan rakan gabungan dalam PN, Gerakan akan memimpin PN Pulau Pinang ke arah kuasa pemerintahan negeri tersebut.

"Gerakan akan menoktahkan politik pakatan tamak kuasa," katanya.

Semua rakyat adalah sama

Sebelum ini portal Free Malaysia Today melaporkan PN kini mengalihkan fokus mereka kepada pengundi Melayu dan India Pulau Pinang untuk menguasai kerusi bermajoriti tipis pada pilihan raya negeri akan datang.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, portal itu menyatakan, PN berdepan kesulitan untuk meraih undi kaum Cina apabila Gerakan gagal memperoleh sokongan yang diharapkan.

Pada masa sama, dakwa sumber berkenaan, PN melihat ada perubahan sokongan ketara daripada masyarakat India Pulau Pinang, khususnya pada PRK Sungai Bakap Julai 2024.

Untuk rekod Gerakan mentadbir Pulau Pinang selama lebih 35 tahun iaitu sejak Feb 1972 dan negeri tersebut menjadi kubu utama parti berkenaan.

Bagaimanapun Gerakan - bersama BN - tersingkir dari kuasa dalam PRU ke-12 (2008) dengan menyaksikan parti tersebut hanya menang di dua kerusi berbanding 10 dalam PRU sebelumnya.

Kata Wendy, Gerakan memiliki pengalaman yang luas dalam pembangunan Pulau Pinang selain memberikan ruang politik sihat semasa menjadi kerajaan sebelum ini.

"PAS dan Bersatu memahami jasa tersebut dan memberi sokongan yang secukupnya kepada Gerakan mengetuai jentera negeri.

“Kini, MIPP (Parti Rakyat India Malaysia) berada dalam gelanggang bersama PN, dan kami mengharapkan yang sama.

"Dengan status quo Gerakan bersama Bersatu, PAS dan MIPP akan berusaha mewujudkan kerajaan rakyat untuk rakyat Pulau Pinang.

"Rakyat Pulau Pinang, sama ada Cina, Melayu, India, mereka semua adalah sama, tiada selektif, kesemuanya diutamakan.

"Kita akan mendekati mereka tidak kira andai anda sokong kita atau tidak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS