Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lawatan negara Prabowo penting bagi hubungan KL-Jakarta, Asean
Diterbitkan:  Jan 26, 2025 2:23 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Lawatan negara pertama Presiden Prabowo Subianto minggu depan membawa makna yang sangat penting kepada hubungan dua hala Indonesia - Malaysia serta kestabilan dan keselamatan Asean, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono.

Katanya kunjungan Prabowo itu berperanan memperkukuh semua bidang dalam hubungan diplomatik dua negara yang kuat dalam kalangan rantau Asean.

“Diharapkan kunjungan ini akan dapat mempercepat penyelesaian beberapa isu tertangguh, termasuk masalah sempadan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menyentuh mengenai Asean, Hermono berpendapat cabaran utama kumpulan tersebut ketika ini ialah bagaimana menjaga pemusatan Asean untuk menghadapi dinamik politik dan memelihara kestabilan serta keamanan serantau.

“Dalam konteks ini, hubungan Indonesia-Malaysia yang semakin kuat tentunya sangat penting untuk menjaga Pemusatan Asean,” katanya.

Prabowo yang kini dalam lawatan negara ke India menerusi akaun X pada Khamis berkata selepas ini dia akan ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Kerjasama erat dengan negara-negara sahabat selalu menjadi keutamaan kita untuk membangun kawasan yang lebih kuat dan sejahtera bersama,” katanya.

Menurut Hermono, Prabowo yang memulakan tugas sebagai presiden kelapan Indonesia pada Okt lalu akan diiringi beberapa menteri kabinet dalam lawatan negaranya ke Malaysia.

Antaranya ialah Menteri Luar, Sugiono; Menteri Perdagangan, Budi Santoso; Menteri Perlindungan Pekerja Migran, Abdul Kadir Karding; Menteri Pelaburan dan Hiliran Rosan, Rosan Perkasa Roeslani; Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah, Prof Dr Abdul Mu’ti; dan Setiausaha Kabinet Mejar Teddy Indra Wijaya.

Pada 9 Jan lalu Prabowo ada melakukan lawatan kerja sehari ke Malaysia dan dalam perbincangan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dia menyatakan hasrat Jakarta untuk membantu Malaysia dalam Kepengerusian Asean tahun ini.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi Asean kali kelima bermula 1 Jan lalu dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi Asean pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Asean ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh lima buah negara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina. Kini ia dianggotai 10 negara dengan penyertaan Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja, manakala Timor-Leste sebagai pemerhati.

Kuala Lumpur dan Jakarta memulakan hubungan diplomatik secara rasmi pada 1957 dengan hubungan masyarakat di antara kedua-dua negara sudah bermula lebih awal dari itu.

Kenyataan Wisma Putra sebelum ini menyebut, pada 2023 Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota Asean, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).

Sejak Jan hingga Okt 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023.

Sementara itu, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata Malaysia dan Indonesia mungkin berada di kemuncak zaman keemasan baru oleh dorongan oleh hubungan rapat antara Prabowo dan Anwar.

“Kedua-dua pemimpin ini sudah pasti melihat rasional strategik yang kukuh dalam perkongsian mereka, dijalinkan atas keutamaan Pemusatan Asean, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam persekitaran strategik yang lebih meluas, terutamanya di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump yang sukar diramal,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Faiz, dengan persaingan AS-China dijangka meningkat dengan cara yang tidak dapat diramalkan dalam beberapa tahun mendatang, keperluan untuk Malaysia dan Indonesia bertindak dengan lebih berkoordinasi semakin mendesak.

Terdapat semangat keakraban yang istimewa di antara Presiden Prabowo dan Anwar, iaitu hubungan peribadi antara mereka yang tidak dapat dinafikan.

“Kali terakhir wujud muhibah antara kedua-dua pihak adalah semasa Tun Razak (Hussein), yang peranannya dalam menamatkan konfrontasi bersama Tun Ghazali Shafie, membawa kepada zaman keemasan bagi hubungan Malaysia-Indonesia,” tambahnya.

Sementara itu, sumber dari Istana Presiden Indonesia yang bercakap kepada media Indonesia, Kompas, menekankan bahawa “Malaysia sebagai negara jiran yang rapat, amat penting bagi Indonesia.”

Sumber itu turut menyentuh mengenai pertemuan Prabowo dan Anwar di Kuala Lumpur pada 9 Jan lalu apabila kedua-dua mereka mengadakan perbincangan secara tertutup semasa makan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar di Rumah Tangsi, Taman Tasik Perdana.

“Lokasi itu dipilih sendiri oleh Perdana Menteri Anwar untuk menghormati Presiden Prabowo yang walaupun jadualnya padat, meluangkan masa untuk ke Kuala Lumpur bagi pertemuan itu,” kata sumber berkenaan kepada Kompas.

Susulan pertemuan itu, Biro Akhbar, Media dan Penerangan Sekretariat Presiden mengeluarkan kenyataan, menyatakan, “pertemuan ini menjadi simbol penting persahabatan antara Indonesia dan Malaysia, di samping mengukuhkan usaha kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai sektor.”

Dalam kenyataan ringkas sebelum berlepas dari Jakarta ke New Delhi pada Khamis lalu, Prabowo menekankan kepentingan Malaysia sebagai jiran rapat dan negara serumpun yang berkongsi persamaan budaya, etnik dan sejarah.

“Kami mempunyai banyak persamaan dan semakin bekerjasama sebagai negara pengasas Asean, bersama Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei. Bersama-sama, kita telah menjadi penggerak utama Asean yang kini berkembang pesat,” katanya.

Prabowo juga menekankan peranan penting yang dimainkan oleh Indonesia dan Malaysia dalam mengukuhkan kerjasama Asean serta perkongsian strategik lain.

Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Laos, manakala Indonesia memegang jawatan pengerusi pada 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS