Doktor tentera Israel hari ini dilaporkan berpendapat kesihatan empat askar wanita mereka yang dibebaskan pejuang Palestin dalam keadaan "sangat baik" dan mengesahkan mereka tidak diberikan sebarang perangsang atau dadah semasa ditawan di Semenanjung Gaza.
Agensi Anadolu (AA) melaporkan penilaian oleh doktor itu sekali gus menyangkal dakwaan rasmi Israel bahawa Hamas memberi perangsang kepada tawanan dalam bentuk vitamin dan ubat penenang agar mereka kelihatan gembira sebelum dibebaskan.
Penyiar rasmi Israel, KAN, melaporkan doktor tentera mendapati askar wanita terbabit berada dalam keadaan "sihat dan stabil" selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik dibebaskan.
Doktor turut memaklumkan bahawa askar wanita itu mengesahkan mereka tidak diberikan perangsang atau dadah semasa dalam tawanan pejuang Hamas.
Askar wanita itu, lapor AA, kemudian mengesahkan nyawa mereka terancam dan mengalami "ketakutan melampau" akibat pengeboman sengit tentera Israel berhampiran tempat mereka ditahan.
Kenyataan itu selari dengan amaran awal kumpulan pejuang Palestin yang menyatakan bahawa serangan udara Tel Aviv menyebabkan kematian puluhan tahanan dalam jagaan mereka dan hampir mengakibatkan kematian beberapa yang lain.
Ahli keluarga askar yang dibebaskan memberitahu penyiar Israel, Channel 12, bahawa tawanan berkenaan memaklumkan bahawa mereka ditahan di lokasi yang sangat dekat dengan kawasan pengeboman, yang menyasarkan wilayah Gaza selama lebih 15 bulan.
Menurut kenyataan, askar wanita terbabit turut menyatakan bahawa mereka kerap dipindahkan antara rumah dan terowong semasa dalam tahanan apabila serangan udara dilancarkan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Hamas menyerahkan empat askar wanita itu pada Sabtu mengikut perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Israel.
Seramai 200 tahanan Palestin turut dibebaskan sebagai pertukaran dengan askar wanita berkenan.
Dalam fasa pertama gencatan senjata, Israel kini dijadual berundur dari kawasan Koridor Netzarim yang memisahkan utara Gaza dengan selatannya, membolehkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal kembali ke utara.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama enam minggu itu bermula pada 19 Jan, menangguhkan serangan genosid Israel yang telah mengorbankan lebih 47,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,000 yang lain sejak 7 Okt 2023.
Pada hari pertama perjanjian itu, Israel membebaskan 90 tahanan Palestin sebagai pertukaran dengan tiga tawanan Israel yang dibebaskan oleh Hamas.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan ketenangan yang berterusan, bertujuan mencapai genjatan senjata kekal dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Serangan Israel juga menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan meluas dan krisis kemanusiaan yang meragut nyawa ramai warga emas, wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant pada Nov lalu atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan yang dilancarkan ke atas wilayah itu.
- Bernama/AA