Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump sahkan 907kg bom dalam perjalanan ke Israel
Diterbitkan:  Jan 26, 2025 12:36 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

GLOBAL | Presiden AS Donald Trump mengesahkan hari ini bahawa "banyak perkara yang ditempah dan dibayar oleh Israel tetapi tidak dihantar oleh Joe Biden kini dalam perjalanan."

Antaranya, lapor Agensi Anadolu (AA), termasuk penghantaran 1,800 bom MK-84 yang tertangguh selama beberapa bulan.

Kenyataan Trump di platform Truth Social itu dibuat susulan keputusan Pentagon menarik balik sekatan terhadap penghantaran "bom" yang dikenakan oleh pentadbiran Biden pada Mei lalu.

Axios melaporkan bahawa sekatan itu ditarik balik selepas pegawai Israel dimaklumkan oleh Pentagon pada Jumaat.

Bom seberat 907.2kg itu sebelum ini disimpan di AS. Ekoran keputusan terbaru dibuat Trump, ia dijangka dihantar beberapa hari akan datang.

Sekatan yang dikenakan Biden sebelum ini bertujuan membantah tindakan ketenteraan Israel di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza, sehingga mencetuskan satu daripada krisis paling signifikan dalam hubungan AS-Israel semasa serangan Israel ke atas wilayah itu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggunakan kelewatan itu sebagai alat politik dengan mengumpulkan sokongan daripada penggubal undang-undang Republikan Amerika yang mengkritik pendirian Biden walaupun sekatan itu dilakukan berikutan kebimbangan terhadap potensi korban awam di Gaza.

- Bernama/AA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS