Seorang aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan mencadangkan agar pampasan kerajaan kepada syarikat konsesi lebuh raya untuk "perjalanan bebas tol" lebih berfaedah jika disalurkan kepada membiayai lebih banyak projek infrastruktur jangka panjang.
Dalam kenyataanyang dikeluarkan itu, bekas ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Shahrim Tamrin, berkata dianggarkan sehingga RM640 juta wang negara dibelanjakan menjelang akhir tahun ini untuk diberikan kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi inisiatif berkenaan.
Justeru, katanya, adalah lebih baik wang berkenaan digunakan untuk membiayai projek yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai dengan lebih berkesan, termasuk:
Membeli set kereta api baru bagi menambah baik kekerapan perkhidmatan terhad antara Arau, Butterworth dan Ipoh.
Membina atau membaiki jambatan di Sabah untuk menyediakan akses sekolah yang lebih baik buat kanak-kanak setempat dan meningkatkan kesalinghubungan bagi masyarakat luar bandar.
Menyediakan pengangkutan awam percuma untuk pelajar sekolah menengah bagi mengurangkan kebergantungan mereka kepada motosikal untuk berulang-alik.
Memperuntukkan lebih banyak dana kepada Jabatan Jalan Raya agar jalan persekutuan boleh diperbaiki dan meningkatkan keselamatan di daerah yang paling tinggi kematian jalan raya.
Mengulas lanjut, Shahrim berkata, pembiayaan tol percuma untuk pengguna lebuh raya adalah tidak perlu kerana ia akan menyumbang kepada kesesakan yang lebih besar, selain mengalihkan sumber daripada projek awam yang kritikal.
Dia juga mendakwa kerajaan telah kehilangan peluang keemasan untuk melaksanakan pembaharuan fiskal apabila menarik balik keputusannya untuk tidak memberikan tol percuma dengan menyediakan diskaun kepada kenderaan tertentu sempena Tahun Baru Cina kali ini.
"Ia akan menjadi permulaan yang baik untuk 2025 bagi kerajaan apabila tidak terlibat dalam faktor politik-ekonomi di sebalik dasar yang mementingkan kereta dan menjimatkan wang pembayar cukai untuk tujuan lain yang bermakna," katanya.
Pada 21 Jan, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa perjalanan bebas tol akan berakhir dengan pendekatan yang lebih disasarkan.
Kenyataan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, yang menasihatkan pemandu supaya merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya.
Bagaimanapun, sehari kemudian, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata kabinet masih membincangkan perkara itu. Menjelang 24 Jan, kerajaan mengumumkan diskaun tol 50 peratus untuk kenderaan persendirian kelas 1, dengan pengecualian di pintu masuk sempadan.
Shahrim kemudian membangkitkan persoalan sama ada komunikasi yang lemah harus dipersalahkan atau tidak atas keputusan berbolak-balik tersebut.
“Terdapat segala kemungkinan bahawa kuasa Nanta telah terjejas.
“Seolah-olah berlaku gangguan komunikasi dalam kalangan anggota kabinet dan pihak yang bertanggungjawab dalam komunikasi keputusan kolektif yang dicapai oleh kabinet mengenai isu pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya,” dakwanya.