Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi tambang penerbangan kurangkan rungutan rakyat
Diterbitkan:  Jan 26, 2025 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM

Langkah kerajaan melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum pada musim perayaan berjaya mengurangkan rungutan rakyat terhadap harga tiket penerbangan mahal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Katanya berkata kejayaan itu terbukti setelah setahun kerajaan Madani melaksanakan pemberian subsidi sempena musim perayaan di negara ini.

“Tahun ini kita tidak lagi dengar rungutan di media sosial tentang tiket mahal seperti RM2,000 untuk balik Tawau atau Sandakan. Semuanya terkawal dan ramai yang mengambil peluang dengan tambang tetap ini.

“Setelah setahun kerajaan melaksanakan dasar menetapkan kadar tambang tetap atau tambang maksimum, kita dapat lihat hasilnya.

"Harga tiket dapat dikawal dan tiada lagi aduan harga tiket (penerbangan) melambung seperti sebelum ini,” katanya kepada media selepas majlis pelepasan penerbangan tambahan Malaysia Airlines (MAS) ke Tawau dan Sandakan, Sabah sempena Tahun Baru Cina di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarbangsa KL (KLIA) di Sepang semalam.

Loke berkata walaupun kerajaan menetapkan kadar tambang penerbangan maksimum berjumlah RM499 pada musim perayaan, namun terdapat syarikat penerbangan yang menawarkan harga lebih rendah.

“Ada syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap serendah RM300 bagi penerbangan khas waktu malam. Usaha ini membuktikan intervensi kerajaan berjaya meringankan beban rakyat,” katanya.

Mengenai sambutan terhadap inisiatif itu, Loke berkata keputusan kerajaan melanjutkan pemberian subsidi adalah tepat, kerana mendapat sambutan menggalakkan dengan kapasiti tempat duduk dalam pesawat mencecah 95 peratus.

“Ini termasuk bagi penerbangan balik dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur.

"Selain MAS, syarikat penerbangan lain seperti AirAsia dan Batik Air turut menambah penerbangan untuk memenuhi permintaan tinggi sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

MAS sebelum ini mengumumkan 102 penerbangan tambahan pada waktu malam, menjadikan jumlah keseluruhan 219 penerbangan mingguan sepanjang musim perayaan ini.

MAS menawarkan tambang tetap sehala bermula RM349 ke Sabah dan Sarawak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS