Persembahan pelawak Harith Iskander di Dewan Filharmonik Petronas hari ini dibatalkan selepas keluarganya menerima ugutan bunuh, kata bekas isterinya Dr Jezamine Lim.
“Baru-baru ini saya menerima ugutan bunuh yang ditujukan kepada saya, tetapi apa yang lebih mengejutkan dan menakutkan saya adalah ancaman penderaan yang keji terhadap anak-anak kami.
“Disebabkan ancaman ini dan serangan dalam talian tanpa henti daripada individu tertentu, DFP (Dewan Filharmonik Petronas) dan keluarga kami bersetuju bahawa, demi keselamatan adalah lebih baik untuk tidak meneruskan persembahan seperti yang dirancang,” katanya di Instagram hari ini.
Semalam, Dewan Filharmonik Petronas mengumumkan pembatalan persembahan Harith.
Pelawak itu menimbulkan kontroversi selepas dia bergurau tentang "ham sap kopi", menyindir bahawa ia boleh menjejaskan kepercayaannya kerana mempunyai perkataan "ham".
Pada 18 Jan, dia menyiarkan gambar menu kedai kopi dengan keterangan, “Saya sangat keliru. Iman saya tergugat.
“Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam banyak cara.
“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi 'hamsap' tetapi juga mengelirukan saya dengan perkataan ‘ham’. Ni untuk minum atau makan?
“Saya mesti membuat laporan polis kerana saya sangat lemah sehingga kehilangan semua keupayaan untuk menggunakan logik. Siapa lagi yang keliru?” tulisnya.
Menu itu difahamkan merujuk kepada kopi tetapi perkataan "ham sap" juga merujuk kepada individu miang.
Polis telah memulakan siasatan terhadap kenyataan Harith dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) juga akan memanggilnya.
Sehubungan itu, Lim menyifatkan ugutan yang dilemparkan terhadap keluarganya sebagai keji, pengecut dan tidak berperikemanusiaan, sambil menambah laporan polis telah dibuat mengenainya.
“Saya sedih melihat orang ramai termakan kebencian sehingga mereka meluangkan masa berjam-jam untuk trolling, menyebarkan kemarahan, dan menulis komen kesat dalam talian - adakah anda didorong oleh agama?
“Saya diajar Allah meminta umat Islam untuk berbuat baik kepada semua orang, tanpa mengira tindakan atau status mereka. Kebaikan adalah kebajikan yang mencerminkan sifat penyayang Allah sendiri,” katanya.
Lim berkata setiap orang mempunyai hak untuk tidak bersetuju dalam sesuatu perkara, namun mengeluarkan ancaman terhadap keluarga seseorang dan anak-anaknya adalah tidak wajar.
“Ya, anda mempunyai hak untuk tidak bersetuju atau tersinggung dengan kata-kata seseorang - emosi adalah semula jadi - tetapi melakukan hal yang begitu rendah sehingga menghantar ancaman kepada keluarga seseorang? Untuk menyasarkan kanak-kanak?
“Bagaimana anda membenarkannya? Adakah ini benar-benar apa yang anda percaya melindungi agama atau kepercayaan anda?” soalnya.