Paling Popular
Terkini

Selepas berarak dari pusat beli belah Sogo ke Dataran Merdeka tanpa halangan, penganjur perhimpunan antirasuah menggesa kerajaan melaksanakan tiga pembaharuan bagi membendung rasuah.

Bercakap pada sidang media, Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli berkata tiga tuntutan tersebut adalah Pemisahan Jabatan Peguam Negara daripada Pejabat Perdana Menteri, bebaskan SPRM daripada cabang eksekutif dan Penubuhan Akta Pembiayaan Politik.

Zaim ketika berucap di hperhimpunan itu berkata pembaharuan itu, jika dilaksanakan, akan membuktikan komitmen kerajaan terhadap ketelusan.

Dia kemudian berkata di sidang media itu bahawa perhimpunan berkenaan hanyalah permulaan gelombang aktivisme mahasiswa terhadap isu-isu yang melanda negara.

“Inilah permulaan kita membina ‘gelombang’ yang lebih segar.

“Sebelum ini, kami meletakkan harapan kepada Bersih, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), kepada pelbagai CSO dan NGO.

“Kami yakin kali ini terdapat keperluan untuk muka baru dalam kalangan pelajar sendiri, lahir daripada kita, untuk membawa isu sivil.

"Tetapi kami tidak menafikan peranan Bersih. Kami bekerjasama dengan mereka," katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 penunjuk perasaan berarak sejauh lebih satu kilometer bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kes rasuah di negara ini.

Perhimpunan itu pada mulanya dilihat dibantah oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menekankan arahan pihak polis untuk penganjur perhimpunan mendapatkan persetujuan daripada pemilik premis.

Tetapi pada saat-saat akhir, Anwar berkata dia tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan itu, sambil menambah bahawa Saifuddin telah memberi kebenaran untuk ia diteruskan.

Zaim berkata, pelajar sedang memikirkan tindakan lanjut berhubung isu rasuah.

Dia berkata langkah seterusnya ialah penyerahan memorandum di Putrajaya.

Bagaimanapun, jelasnya, sekretariat itu tidak akan terlibat kerana ia hanya ditubuhkan untuk tujuan mengadakan perhimpunan itu dan ia akan dibubarkan serta-merta selepas itu.

Dia juga menafikan sebarang penglibatan politik dalam penganjuran perhimpunan itu, dengan mengatakan bahawa sekretariat itu secara aktif menentangnya.

Tambahnya, air yang diagihkan kepada media dan peserta perhimpunan itu dibiayai oleh pelajar sendiri.

Ketika diminta menganggarkan jumlah orang ramai, dia berkata dia tidak pasti namun menambah bahawa pelajar dari lebih 10 universiti swasta dan awam tempatan telah memberikan sokongan.

Perhimpunan itu adalah susulan perhimpunan ambang tahun baru pimpinan pelajar di Sabah, yang membantah ahli politik negeri yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS