Amanah mengakui masih terdapat tanggapan bahawa parti itu belum dapat meraih sokongan pengundi Melayu-Islam, namun presidennya yakin pengaruh parti itu semakin berkembang.
Mohamad Sabu berkata dengan kejayaan pertama Amanah memenangi DUN Kota Lama menerusi Dr Hafidzah Mustakim, ia mampu meningkatkan sokongan Melayu Islam kepada parti serpihan PAS itu.
“Saya akui tanggapan (Amanah tak dapat tarik undi orang Melayu) itu dan memang kita tahu pada orang Melayu ini, Umno dan PAS saja ada dalam pemikiran mereka.
“Tapi kita yakin, kita sedang berkembang, di mana keahlian kita bertambah setiap bulan dan saya akui ia berkembang tidak sehebat (parti lawan) tapi ia sedang berkembang dan sekarang ini penerimaan rakyat terhadap kami di Kelantan juga agak memberangsangkan.
“PRK Nenggiri, yang sebelum ini peti undi hard core PAS menang tapi kali ini kita menang dan pengaruh kita sedang melebar,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Nasional sesi 2024 di Klang, hari ini.
Dalam pada itu Mat Sabu turut ditanya mengenai sikap Pemuda Amanah yang dilihat tidak agresif berbanding Pemuda Umno berkaitan isu jualan ‘sandwic ham’ yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Mat Sabu berkata pihaknya telah menasihatkan sayap parti itu untuk mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berbentuk perkauman.
“Kadang-kadang kita buat kenyataan, kita jangan lupa yang kita ni berbilang kaum, mungkin dapat menyeronokkan satu kaum sahaja.
“Bagi kita kenyataan yang kita keluarkan kena jaga kerana kita berpegang pada rahmat untuk semua. Sebab tu satu-satu kenyataan yang berbentuk perkauman saya yakin pemuda Amanah cuba elakkan,” tambahnya.
PAS ekstrim, bawa ideologi sekular
Sementara itu, dalam sidang media yang sama Ketua Komunikasi Amanah, Khalid Samad mendakwa PAS kini sebuah parti ekstrem yang membawa ideologi sekular kerana menghalalkan budaya fitnah di kalangan pemimpinnya.
Menurut Khalid, parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu terang-terangan membela Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang didenda RM830,034 kerana memfitnah.
“Sekarang ini apa yang kita lihat PAS itu semakin jelas sebagai parti yang ekstrem yang membawa fatwa-fatwa yang songsang, saya merasakan semakin hari semakin nampak warna sebenar PAS.
“Bila pimpinan PAS diserang teruk kerana membawa budaya fitnah, mereka (membidas) mengeluarkan pula fatwa bahawa sekular itu lebih besar dosa dari fitnah, maknanya memperlekehkan kesalahan fitnah itu.
“Dan tanpa disedari dia sebenarnya mengamalkan politik sekular. Apabila kamu memfitnah bererti kamu tak takut dosa dan bila kamu tak takut dosa dalam politik kamu, bererti kamu mengamalkan politik yang sekular dan kamu sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai kemenangan,” tegasnya.
Justeru itu, Khalid berkata Amanah adalah pilihan paling sesuai bagi ahli-ahli PAS kerana parti tersebut berpandukan politik yang berasaskan agama yang betul.
Khamis lalu, Siti Mastura membayar saman fitnah sebanyak RM830,034.75 kepada veteran DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.
Mahkamah Tinggi pada 4 Disember tahun lalu memutuskan kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan pemimpin berkenaan mempunyai pertalian dengan komunis dan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sebagai fitnah.