Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata dia akan menjawab mengenai krisis bekalan beras putih tempatan (BPT) di sidang parlimen akan datang, selain mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Mohamad berkata pertemuan dengan Anwar itu akan dibuat pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Februari depan
"Kita tidak boleh mengumumkan semudah-mudah begitu melalui kajian yang teliti.
“Perbincangan dalam minggu pertama Parlimen, kena ikut masa Perdana Menteri, kami akan bincang dan sudah tentulah akan ikut proses-proses yang ada," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Nasional sesi 2024 di Klang, hari ini.
Mohamad berkata demikian mengulas dakwaan dia gagal menjalankan tugasnya dalam menyelesaikan isu beras putih tempatan dalam negara.
Sebelum ini, Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa Mohamad gagal menjalankan tugasnya dalam menyelesaikan isu beras putih tempatan yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.
Syed Abu Hussin juga mendakwa Mohamad juga tidak bertanggungjawab dan tidak serius menangani isu keterjaminanan makanan itu untuk rakyat.
Dalam sidang media pada Selasa lalu, Syed Abu Hussin turut mendakwa peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian yang tidak ada kesudahannya.
Malah Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut memberi amaran kepada Mohamad bahawa rakyat sedang menilai tindakan yang dilakukan kementerian itu sebelum ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata pihaknya hanya akan berbincang dengan Pengerusi NACCOL iaitu perdana menteri sendiri.
"Kita sedang membuat libat urus dengan lebih panjang dan sidang Parlimen ini saya akan menjawab apa-apa pertanyaan yang timbul dan kita juga akan berbincang dengan Pengerusi NACCOL.
"Pengerusinya perdana menteri, bukan yang diberitakan sekarang ni, kita akan bincang dengan Pengerusi NACCOL dan dengan petunjuk beliau, kita akan buat perubahan-perubahan," katanya lagi.