Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
200 peserta demo berarak ke Dataran Merdeka tanpa halangan polis
Diterbitkan:  Jan 25, 2025 1:17 PM
Dikemaskini: 12:20 PM
7

Kira-kira 200 peserta perhimpunan antirasuah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur selepas berarak dari pusat beli-belah Sogo, yang terletak kira-kira 1km.

Sepanjang berarak, peserta perhimpunan menyanyikan lagu sambil memukul gendang serta memegang poster.

Mereka juga didengar melaungkan slogan “Hidup, hidup, anak muda” dan “kita turun, kita lawan”.

Aksi itu bagaimanapun hanya diperhatikan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang halangan.

Perhimpunan itu disertai pelbagai kaum dengan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan muda.

Mereka yang kebanyakan memakai t-shirt hitam mula berkumpul di Sogo sekitar jam 2.30 petang sebelum merempuh sekatan yang dipasang di situ.

Bagaimanapun pihak polis dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Terdahulu DBKL menutup pekarangan masuk ke Sogo dengan memasang pita merah-putih serta notis yang melarang orang ramai berkumpul dan menjalankan aktiviti di kawasan itu.

Dataran Merdeka turut ditutup kepada kenderaan, dengan penghadang dipasang di jalan masuk berhampiran tempat parkir.

Beberapa jalan utama menuju ke dataran juga ditutup, selain papan tanda merah yang memaklumkan kawasan itu ditutup untuk sebarang aktiviti.

Namun, sekumpulan kecil pelancong tetap berada di sekitar dataran bersejarah itu, dengan sesetengah mereka dilihat membeli minuman dan mengambil gambar.

Ketika ditanya mengenai penghadang tersebut, seorang penguatkuasa DBKL yang ditemui berkata tindakan itu adalah prosedur biasa dan tidak mempunyai kaitan dengan perhimpunan yang diadakan petang ini.

Turut kelihatan hadir pada perhimpunan petang ini ialah pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan, aktivis Fahmi Reza, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dan peguam dari Lawyers For Liberty, Zaid Malek.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
7
ADS