Presiden Amanah, Mohamad Sabu hanya akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan jika diminta berbuat demikian oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Selain daripada itu, Mohamad berkata tidak ada keperluan untuk dia berbuat demikian.
“Itu kalau perdana menteri suruh,” kata Mohamad pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Nasional sesi 2024 di Klang, hari ini.
Mohamad atau lebih mesra disapa Mat Sabu berkata demikian mengulas gesaan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin supaya dia meletakkan jawatan sebagai menteri jika kerajaan terus menghalang himpunan antirasuah, yang dianjurkan hari ini.
Hanipa sebelum ini dilapor, dia telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai peguam mewakili Mohamad yang pernah terlibat dalam siri-siri perhimpunan aman sebelum ini.
Justeru katanya adalah wajar bagi Mohamad meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya perhimpunan itu dihalang.
Mengulas gesaan Hanipa, Mat Sabu berkata bekas ahli Parlimen Sepang itu bebas memberi pandangannya.
“Dia bebas memberi pandangan dan itu dalam dunia demokrasi,” katanya ringkas.
Sementara itu, Mat Sabu berkata bagi pihak parti Amanah dia tidak ada masalah dengan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan di ibu negara, hari ini.
Malah, dia turut menggalakkan mana-mana pihak untuk menyertainya.
“(Ini negara) Demokrasi, (kita) bebas berdemonstrasi. Siapa saja yang mahu terlibat tidak ada masalah, cuma sekarang ini kami ada konvensyen. Kalau tidak mungkin ada di kalangan kami yang pergi. Tidak ada masalah,” tambahanya.
Satu perhimpunan bertemakan 'Rakyat Benci Rasuah' dijadual berlangsung hari ini di ibu negara.
Perhimpunan tersebut dikatakan susulan daripada perhimpunan Ambang Tahun Baru yang diadakan di Sabah baru-baru ini, yang dianjurkan oleh mahasiswa untuk membantah ahli politik negeri yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.