Menjelang perhimpunan antirasuah yang digerakkan mahasiswa petang ini, bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin mengingatkan pemimpin kerajaan agar tidak memandang rendah kuasa rakyat.
"Peraturan No. 1 dalam politik: Jangan sekali-kali cuba berlagak pandai dengan memandang rendah kuasa rakyat.
"Sejauh mana perhimpunan antirasuah ini berkesan, saya rasa kerajaan sudah mula merasa bahangnya. Syabas kepada rakyat!" kata bekas Ahli Parlimen Sepang itu dalam satu hantaran di Facebook.
Perhimpunan yang dinamakan "Himpunan Rakyat Benci Rasuah" itu akan bermula di luar pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Penganjur yang terdiri daripada 50 organisasi dan lebih 30 individu itu sebelum ini mebadakan protes pada Malam Tahun Baru di Kota Kinabalu, Sabah dengan tuntutan yang sama, iaitu supaya kerajaan dan pihak berkuasa bertindak segera terhadap kes rasuah yang melibatkan ahli politik.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan itu dan mengatakan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail telah memberi kebenaran agar ia diteruskan.
Saifuddin juga berkata polis akan membantu kelancaran perhimpunan tersebut walaupun sebelum ini menegaskan penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis sebelum mengadakan perhimpunan.
Sebelum ini, pihak polis mendakwa penganjur gagal mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa pihak mendakwa sesetengah pemimpin kerajaan bersikap hipokrit kerana sebelum menjadi kerajaan mereka memperjuangkan hak untuk berhimpun secara aman.