Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batal WBB: Kerajaan umum dulu fikir kemudian, bidas pemimpin Bersatu
Diterbitkan:  Jan 25, 2025 11:57 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Kerajaan sekali menunjukkan tadbir urus yang buruk dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan WBB (Waktu Bekerja Berlainan), kata ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Dalam hantaran di Facebook, Yadzil berkata menteri kesihatan akhirnya akur membatalkan cadangan itu setelah diasak oleh petugas kesihatan.

"Kerajaan sekali lagi menunjukkan ‘bad governance’ dalam membuat keputusan. Umum dulu, fikir kemudian.

"Dah masuk tahun ketiga kerajaan campuran ini mentadbir Malaysia tapi masih ditakuk yang lama. Tidak kompeten.

"Menariknya, kementerian baru hendak menubuhkan jawatankuasa khas yang akan berperanan mengkaji berkaitan penjadualan waktu kerja ini. Bukankah jawatankuasa ini sepatutnya dibuat lebih awal?.

“Timbul persoalan besar, dari siapa pihak menteri perolehi pandangan sebelum ini, dan siapakah 10 orang pakar yang sebelum ini pihak menteri guna pakai cadangan mereka untuk perlaksanaan WBB ini?” soalnya.

Semalam, Menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad mengumumkan pembatalan projek perintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih menyeluruh.

Sehubungan itu KKM menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Abu Bakar Suleiman bagi mengkaji semula cadangan itu.

Mengulas lanjut, Yadzil mengingatkan KKM supaya melakukan kajian terperinci serta mendapatkan pandangan daripada semua pemegang taruh dalam sektor kesihatan terutama petugas kesihatan yang lebih faham keadaan di lapangan sebelum membuat keputusan muktamad.

Tegasnya, ada banyak lagi isu utama dalam sektor kesihatan perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan untuk menambah baik sistem kesihatan.

"Saya ucapkan tahniah kepada semua petugas kesihatan dan semua yang terlibat termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Cuepacs yang bersatu dalam memperjuangkan nasib petugas kesihatan," tambahnya.

Sebelum ini Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan pelaksanaan WBB akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada, menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.

Sistem perintis itu dikatakan boleh menyebabkan kerugian pendapatan bagi pegawai perubatan dan pakar.

Di bawah sistem baru ini, elaun 'on-call' pada hari bekerja tidak akan diberikan dan syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dalam tempoh 45 jam seminggu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS