Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Gerakan gagal bawa peranan sebagai pembangkang
Diterbitkan:  Jan 25, 2025 9:30 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

Pemantau pilihan raya bebas, Bersih menyifatkan Gerakan tersasar daripada matlamat penubuhannya dan gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pendirian parti itu kini berbeza dengan gagasan pengasasnya, Syed Hussein Al-Atas, khususnya dalam perjuangan menoktahkan rasuah.

“Syed Hussein Al-Atas adalah nama besar yang menubuhkan parti Gerakan. Saya mengamati tulisan beliau yang jelas menunjukkan komitmen beliau dalam memulihakan masyarakat.

“Ini termasuk ketegasan beliau dalam agenda membasmi rasuah dalam buku beliau - Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi.

"Namun hari ini saya tak lihat gagasan beliau menjadi idea pendorong parti Gerakan terutama untuk menjadi pembangkang yang berperanan sebagai ejen semak dan imbang mengemukakan idea-idea reformasi segar untuk lawan isu rasuah.

"Apa lagi bila parti gabungan mereka Perikatan Nasional (PN) bersolidariti bersama kleptokrat baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Faisal mengulas kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau, yang mendakwa Bersih kini kurang agresif berbanding ketika pentadbiran kerajaan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Menafikan dakwaan berkenaan, Faisal berkata Bersih telah menganjurkan Himpunan Reformasi 100 peratus di hadapan parlimen pada Feb tahun lalu bagi mendesak kerajaan melaksanakan Reformasi Struktural.

"Bersih sentiasa dan akan terus mengkritik dan mengecam salah laku mana-mana kerajaan walau siapa jadi perdana menteri,” katanya.

Untuk rekod, Bersih memberikan gred "D" kepada kerajaan pada November tahun lalu kerana didakwa gagal melaksanakan reformasi institusi sepenuhnya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika itu menyifatkan pentadbirannya sebagai masih baru dan terlalu awal untuk menilai keseluruhan pencapaian Kerajaan Perpaduan.

Sekretariat Rakyat Benci Rasuah yang turut disertai Bersih hari ini menganjurkan perhimpunan aman di ibu negara bagi menuntut ketelusan kerajaan terhadap kes-kes rasuah melibatkan ahli politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS