Sehari sebelum Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan esok di Kuala Lumpur, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menukar nadanya berhubung perkara itu dan kini berkata pihak polis akan memudah cara himpunan berkenaan.
Katanya, dia telah menyampaikan taklimat kepada jemaah menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi tadi.
"Saya maklumkan bahawa KDN (Kementerian Dalam Negeri) di pihak kerajaan kita sentiasa menghormati hak kebebasan berhimpun yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada setiap rakyat Malaysia.
"Saya tekankan pada masa yang sama sudah tentu kita ada Akta perhimpunan Aman (2012).
"Yang menjelaskan peranan peserta himpunan, penganjur dan juga pihak polis. Jadi, saya juga telah pun bercakap dengan Peguam Negara (Mohd Dusuki Mokhtar) esok pihak polis akan memudah cara himpunan sebab ini adalah sebuah kerajaan yang menghormati prinsip kebebasan berhimpun dan bersuara," katanya kepada pemberita di Jeli, Kelantan, hari ini.
Kenyataan terbaru Saifuddin itu hadir meski dia sebelum ini menyorot arahan pihak polis kepada penganjur supaya mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis himpunan.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata polis masih belum menerima kembali notis pemberitahuan daripada penganjur perhimpunan yang dirancang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara dan Dataran Merdeka esok.
Katanya, penganjur sudah menghantar notis terbabit, namun dikembalikan kerana tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.
Sementara itu, Saifuddin menafikan dakwaan kerajaan cuba menyekat perhimpunan itu.
"Pendirian kerajaan berbeza sama sekali dengan tuduhan yang mengatakan sekatan diberikan. Yang kita sebut penganjur perlu mendapatkan kebenaran pemilik tapak.
"Ia tertera dalam Akta Perhimpunan Aman. Maka, nak adakan perhimpunan memenuhi peraturan.Tengok balik peruntukan dalam Akta perhimpunan Aman. Apa maksud peserta perhimpunan? Apa maksud penganjur, tugas penganjur dan juga pasukan polis.
"Bagi esok, kita memudah cara, tetapi tanggungjawab penganjur dan peserta kena patuhi peraturan seperti dia tak boleh bawa senjata tajam, dan peserta dia tak boleh bawa anak di bawah umur," katanya.