Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin MCA gesa kerajaan kaji semula pelarasan cukai eksais OMV
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Seorang pemimpin MCA menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan pelarasan semula cukai eksais nilai pasaran terbuka (OMV/402) ke atas kereta pemasangan tempatan (CKD) yang dijangka akan bermula pada tahun 2026.

Naib presiden parti itu, Lawrence Low berkata demikian ketika mengulas kenyataan Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) Chin Jit Sin yang menyifatkan keputusan Kementerian Kewangan itu menyebabkan harga purata untuk kenderaan bermotor CKD akan naik antara 10 peratus hingga 30 peratus.

"Kerajaan mungkin berharap untuk menambah pungutan cukai bagi mengisi kantung negara, namun kenaikan harga yang mendadak juga bakal melemahkan daya beli majoriti pengguna sehingga merencatkan industri automotif tempatan, seterusnya mengurangkan peluang pekerjaan.

"Memburukkan lagi keadaan, pengeluar automotif asing juga akan berasa sangsi untuk membuat pelaburan besar bagi mendirikan kilang kereta CKD di Malaysia dan ini pastinya merugikan negara di masa depan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dia turut mencadangkan kerajaan meletakkan tempoh yang lebih lama misalnya sehingga tiga ke lima tahun daripada sekarang, berbanding menangguhkannya sehingga Januari 2026.

Mengulas lanjut, Lawrence berkata pandangan Chin ada asasnya.

"Apabila beliau mengatakan pengeluar kenderaan bermotor akan berhenti membuat pelaburan baharu serta-merta untuk mengeluarkan model kenderaan bermotor baru di Malaysia.

"Sebaliknya, hanya membawa masuk unit CBU (diimport sepenuhnya) dari negara Asean atau RCEP lain, memandangkan terdapat perbezaan kos yang kurang pada unit CBU berbanding kenderaan CKD," katanya.

Untuk rekod, pada 2019, Kementerian Kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan telahpun menyediakan Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barang-Barang yang Dikilangkan Secara Tempatan bagi Maksud Melevi Duti Eksais) 2019, yang telah digazetkan.

Peraturan ini sepatutnya telahpun mula digunakan pada 2020, tetapi dengan beberapa penangguhan, ia akan bermula awal tahun depan dan dijangka akan menyebabkan harga kereta-kereta CKD di Malaysia akan naik.

Peraturan-peraturan ini akan menetapkan cara baru untuk mengira OMV bagi kenderaan-kenderaan CKD. Sebarang peningkatan pada OMV ini akan meningkatkan jumlah cukai dan seterusnya, harga jualan kenderaan tersebut.

OMV boleh didefinasikan sebagai harga pasaran muktamad kenderaan CKD tersebut selepas keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan sebarang duti eksais ke atasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS