Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya ingat RM600,000 yang Najib beri itu duit sendiri - Tok Him
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Ibrahim Ali memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa sangat yakin dan percaya bahawa cek bernilai RM600,000 yang diterimanya daripada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah wang peribadi bekas perdana menteri itu dan bukannya milik anak syarikat SRC International Sdn Bhd. 

Ibrahim, 74, berkata Najib mengeluarkan cek itu kepadanya pada Mei 2015 dan ketika itu beliau tidak tahu daripada mana sumber wang tersebut selain tidak menyoal sumber kewangan cek itu kerana ketika itu Najib adalah Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

 “Setelah saya kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, saya hanya berdiam diri dan kecewa kerana telah banyak mengeluarkan belanja sendiri semasa menjadi Ahli Parlimen bebas selepas PRU ke-12 dan semasa bertanding sebagai calon bebas pada PRU ke- 13.

“Selepas hampir dua tahun, saya telah memohon untuk bertemu Datuk Seri Najib, dan temu janji tersebut ditetapkan pada 4 Mei, 2015 di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Ketika perjumpaan itu, saya meluahkan kepada beliau mengenai pengorbanan saya dan menjadi Ahli Parlimen mesra Barisan Nasional (BN) selepas kemenangan saya dalam PRU ke-12,” katanya.

Najib ketika menghadiri prosiding mahkamah

Saksi keempat SRC itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili UMNO pada perbicaraan kes saman yang difailkan oleh SRC dan dua anak syarikatnya - Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd  terhadap UMNO dan UMNO Selangor pada Mei 2021.

Menurut Ibrahim, pada pertemuan itu beliau memaklumkan kepada Najib bahawa walaupun menerima bantuan projek-projek kecil dari kerajaan Pusat, beliau (Ibrahim) telah mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung program serta aktiviti di Parlimen Pasir Mas, termasuk bantuan pendidikan, kebajikan, banjir selain melaksanakan pelbagai projek infrastruktur.

“Begitu juga semasa bertanding pada PRU ke-13, saya tidak mempunyai cukup perbelanjaan dan terpaksa menggunakan kad kredit untuk membiayai program-program kebajikan rakyat,” kata Ibrahim. 

Ibrahim berkata setelah mendengar rintihannya, Najib telah mengangguk-angguk sebagai tanda simpati atas beban yang ditanggungnya dan Najib berkata ‘saya bantulah setakat apa yang boleh’. 

“Beliau (Najib) kemudian mengeluarkan sekeping cek bernilai RM600,000 atas nama saya. Saya menganggap ini sebagai sumbangan daripada Perdana Menteri kepada saya untuk mengganti atau membayar balik (‘reimburse’) apa-apa perbelanjaan yang saya telah keluarkan dan juga untuk menyelesaikan hutang-hutang saya,” katanya sambil menambah, beliau hanya mengetahui sumber wang itu sekitar 2021 melalui laporan The Edge.

Mohamed Shahrul Fazli: Datuk, sekarang datuk tahu bahawa duit itu adalah duit kotor dan milik SRC….bolehkah Datuk memulangkan duit itu kepada SRC? 

Ibrahim: Macam mana saya nak pulangkan, saya dah habis gunakan duit itu. Ketika itu, saya anggap duit itu dari Najib sendiri.

“Datuk Seri Najib tidak bertindak jujur terhadap saya dengan memberikan gambaran kepada saya bahawa cek tersebut berasal dari akaunnya sendiri atau tabung UMNO dan beliau mempunyai kuasa penuh untuk mengeluarkan cek tersebut.

“Beliau sengaja mengeluarkan cek dari akaun yang dikhaskan untuk tujuan CSR kepada saya secara tidak sah, dengan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa wang yang diberikan kepada saya bukanlah untuk tujuan CSR,” katanya sambil menambah bahawa beliau (Najib) sedar bahawa beliau telah melakukan pecah amanah dengan menyelewengkan wang berjumlah RM600,000 milik syarikat itu. 

Dalam saman terhadap UMNO, plaintif menuntut RM16 juta, yang mereka dakwa telah dipindahkan secara salah kepada parti politik itu, dengan menegaskan bahawa UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana itu.

Saman kedua melibatkan tuntutan RM3.5 juta terhadap Badan Perhubungan UMNO Selangor (UMNO Selangor) yang juga didakwa telah menerima dana tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 7 April. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS