Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu Sabah: 'Palui' Hamzah dituju pada pemimpin negeri, bukan rakyat
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 6:27 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Seorang pemimpin Bersatu Sabah membela timbalan presiden parti itu, Hamzah Zainudin, yang dituduh menghina rakyat Sabah berhubung ucapannya baru-baru ini.

Ini selepas Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu dilaporkan menyifatkan ketua menteri negeri Hajiji Noor sebagai "palui".

Dalam slanga Sabah, 'palui' ialah kata adjektif yang membawa maksud bodoh.

Timbalan Ketua Bersatu Sabah Muhammad Affan Jumahat berkata kenyataan Hamzah itu jelas ditujukan kepada kepimpinan kerajaan negeri Sabah dan bukannya rakyat secara amnya.

Justeru, dia menggesa Hajiji supaya tidak memutarkan isu itu sebagai cubaan untuk menutup dakwaan kegagalannya sebagai pentadbir negeri.

"Hajiji tidak perlu menunggang isu 'palui' untuk mengalih perhatian rakyat Sabah terhadap kegagalan pimpinannya, kerana perbuatan terdesak tersebut hanya membuktikan beliau seorang ketua menteri yang kering idea dan tidak reti mentadbir negeri.

"Gangguan elektrik yang berterusan, masalah terputus bekalan air bersih serta keadaan jalan raya seumpama di bulan adalah masalah sebenar di Sabah, yang berpunca daripada kelemahan Hajiji dan GRS, yang tidak boleh ditutup melalui cubaan mengalihkan isu.

"Bukan hanya memalukan, tetapi keadaan infrastruktur asas yang makin memburuk di bawah kepimpinan Hajiji merupakan suatu pengkhianatan buat seluruh rakyat Sabah, kerana ketika masalah rakyat tidak dipedulikan, kepimpinan GRS pula terpalit dengan skandal video rasuah," kata Affan dalam satu kenyataan.

Dia mengulas kenyataan Hajiji, yang semalam membidas Hamzah kerana didakwa menghina semua rakyat Sabah dengan menggelar mereka 'palui'.

Menurut laporan Berita Harian, pengerusi GRS itu berkata adalah tidak sopan untuk Hamzah datang ke negeri ini dan membuat kenyataan sedemikian di Sabah.

Mengulas lanjut, Affan berkata Hamzah tidak pernah menyasarkan istilah menghina rakyat Sabah secara umum sebaliknya menggunakannya untuk menggambarkan kepimpinan negeri.

Selain itu, katanya, ketua pembangkang itu juga telah menarik balik kenyataan itu kemudian dalam ucapannya di Kudat.

"Berhenti mengheret rakyat Sabah ke dalam isu ini untuk menutup kelemahan diri sendiri," kata Affan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS