Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan fail notis rayuan terhadap keputusan pelarasan pencen pesara
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Kerajaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang membenarkan semakan kehakiman berhubung pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 berkuat kuasa mulai Januari 2022.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi berkata pihaknya telah memfailkan notis rayuan itu semalam (23 Jan 2025).

“Notis rayuan telah difailkan semalam di Mahkamah Rayuan,” kata Ahmad Hanir ketika dihubungi media hari ini.

Sementara itu, peguam Datuk Shukor Ahmad yang mewakili pesara penjawat awam Aminah Ahmad mengesahkan perkara itu.

"Ya, kita terima notis rayuan itu semalam (23 Jan 2025)," katanya semasa dihubungi.

Pada 16 Jan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh membenarkan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 berkuat kuasa mulai Januari 2022.

Ketika membenarkan semakan kehakiman oleh Aminah, Amarjeet turut mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan untuk membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula 16 Jan lepas.

Dalam penghakimannya, Amarjeet memutuskan bahawa pekeliling tersebut mempunyai kesan membuat semakan gaji bagi penjawat awam dan di bawah Akta Penyesuaian Pencen 1980, pesara kerajaan berhak mendapat pencen yang disesuaikan dengan semakan gaji mereka.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar Negeri, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Jan tahun lepas atas kapasiti beliau sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.

Pesara itu memohon perintah mandamus bagi memaksa responden mempercepat pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Beliau juga memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayar melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan. Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

Aminah pada mulanya gagal dalam kesnya di Mahkamah Tinggi pada 2020 namun membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan, yang membuat keputusan memihak kepadanya. Kerajaan dan Ketua Pengarah JPA pula mendapat kebenaran merayu pada 2022.

Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan pencen itu tidak sah dan panel lima hakim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah JPA untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 29 Feb tahun lepas, mahkamah membenarkan wanita itu meneruskan semakan kehakiman selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS