Pemuda Amanah mengakui kekuatan PAS dan kesukaran bersaing dengan parti itu.
Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda berkata lebih-lebih lagi dengan kewujudan PAS lebih 60 tahun.
“Kita kalau nak lawan dengan PAS melalui berapa banyak ceramah agama ataupun menguasai masjid dan surau, memang susah nak lawan sebab mereka dah wujud lebih 60 tahun.
“Kita nak lawan dengan ceramah berapi-api, dengan penubuhan Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) yang banyak di seluruh negara, mungkin sukar.
“Nak lawan dengan Unit Amal pun mungkin sukar,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pemuda Amanah Nasional sesi 2024 di Klang, hari ini.
Bagaimanapun, Senator Dewan Negara itu berkata sayap Pemuda Amanah perlu kekal bersemangat dan bergantung kepada kekuatan sedia ada.
Memetik kisah dongeng Sang Kura-kura dengan Sang Arnab, Mohd Hasbie berkata banyak yang boleh dipelajari sayap parti itu.
“Kita biasa dengar kisah kura-kura dengan arnab yang mana arnab yang angkuh dikalahkan kura-kura dalam satu perlawanan. Sebenarnya dia ada tiga perlawanan, dalam perlawanan kedua, arnab minta ulang semula perlawanan itu kerana dia tertidur sebelum ini.
“Jadi, dia buat perlawanan kedua dan arnab menang sebab arnab dan ambil pengajaran dari perlawanan sebelum ini. Jadi, kura-kura ini berfikir, aku kalau lawan dengan arnab sampai bila-bila pun tak menang.
“Jadi, dia berunding dengan arnab dia kata kalau lumba lari memang arnab akan menang sebab dari segi fizikal yang diberi oleh Allah SWT boleh melompat dan sebagainya. Jadi, kita kena adil, perlawanan seterusnya mesti melibatkan kedua-dua lapangan. Kura-kura mahu berlari atas tanah dan kemudian berenang dalam air. Baru adil. Arnab pun setuju, ketika berlari di darat memang arnab menanglah tetapi bila nak berenang arnab tak menguasai dan kura-kura walaupun tak laju dia boleh berenang dan akhirnya kura-kura menang,” katanya.
Kata Hasbie, Pemuda Amanah perlu mengambil iktibar kisah itu dan menumpukan kepada kekuatan mereka.
“Kita tak perlu fikir untuk lawan siapa lebih banyak tadika Pasti, kita tak perlu fikir untuk orang lebih besar tetapi kita mesti fokus kepada kekuatan yang kita ada.
“Amanah ada kekuatan bersama dengan rakan-rakan dalam PH. Jadi, kita harus fokus kepada kekuatan kita, barulah perlawanan itu kita boleh menang. Insya-Allah,”katanya.
Jadi benteng perpaduan
Sementara itu, dalam perkembangan lain Hasbie menjangkakan pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan diadakan pada penghujung tahun 2025, manakala pilihan raya umum (PRU) ke-16 lebih awal berbanding tempoh luputnya pada tahun 2027.
Katanya, menuju kedua-dua pilihan raya tersebut parti itu berdepan dengan cabaran khususnya daripada Perikatan Nasional (PN).
“PN akan terus menggunakan isu ancaman Melayu dan umat Islam untuk menghasut rakyat menolak kerajaan perpaduan. Mereka tidak ada modal dari sudut integriti atau pentadbiran sebaliknya merekayasa fitnah menggunakan sentimen perkauman melampau dan keagamaan,” katanya.
Disebabkan itu, Hasbie menggesa sayap Pemuda parti itu untuk tidak berlengah dan segera bertindak melaporkan fitnah yang dilemparkan PN.
“Saya harap Pemuda Amanah tak perlu tunggu arahan (parti), kalau ada saja kenyataan yang menimbulkan fitnah daripada kepimpinan PN, buat laporan polis. Jangan berlengah, sebab mereka sekarang ini nak cabar kerajaan melalui idea ekonomi yang lebih baik mereka tidak ada, apa yang mereka ada adalah membakar dan membakar.
“Sebab itu bila timbul satu fitnah, terus buat laporan polis supaya mereka letih dengan laporan polis itu.
“Kita jangan biarkan, sebelum ini banyak yang kita biarkan dan mereka terus-menerus melakukan (kenyataan fitnah),” katanya.
Tegas Hasbie, sayap parti itu perlu lebih tegas khusunya dalam terus menyakinkan rakyat bahawa kerajaan PH-BN adalah parti gabungan terbaik.
“Kita mesti terus meyakinkan rakyat bahawa PH adalah gabungan terbaik bersama dengan rakan-rakan kerajaan Perpaduan yang bukan hanya boleh mentadbir negara kita dengan baik tetapi dapat menjamin hak dan keistimewaan orang Melayu,” tambahnya.
Selain itu, Hasbie berkata sayap Pemuda Amanah juga perlu menjadi benteng dalam mempertahankan perpaduan nasional.
“Dalam dunia hari ini tidak sunyi dengan isu-isu yang mencabar perpaduan. Isu 3R (raja, kaum, agama) akan terus dimainkan dan mereka akan terus melaga-lagakan rakyat, menanam prejudis di kalangan segmen masyarakat yang berbeza. Pemuda mesti jadi benteng yang mempertahankan perpaduan nasional .
“Kita bertanggungjawab untuk terus mendidik masyarakat khususnya generasi muda tentang pentingnya menolak politik kebencian dan beralih kepada naratif keadilan dan keharmonian
"Kita juga mesti bertegas bahawa mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan tidak pernah bercanggah dengan prinsip keadilan kepada semua dan kita juga percaya bahawa keadilan bukan tentang memberikan keistimewaan kepada satu pihak sahaja tetapi memberikan hak kepada semua pihak berdasarkan keperluan dan situasi,” tegasnya.