Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Jan ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata potongan tol itu akan bermula 12.01 tengah malam pada 27 Jan (Isnin) dan akan berakhir 11.59 malam, pada 28 Jan (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggar berjumlah RM20.08 juta.
Katanya pengurangan tol 50 peratus itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, dan akan dilaksanakan di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara, iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Dis 2024.
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
- Bernama