Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga emas tampar kakitangan Puspakom didenda RM1,600
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 3:52 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Seorang warga emas didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhi hukuman itu ke atas Koh Soon Hua, 60, dan memerintahkan lelaki terbabit dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Koh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Taib, 38, di Puspakom Jalan Bertam, Johor Bahru pada jam 5.40 petang, 18 Nov tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan pada 16 Jan lalu berkata suspek bertindak menampar kakitangan Puspakom terbabit selepas mendapati lorinya gagal dalam pemeriksaan agensi berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS