Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat pembekal roti ham KK Mart didakwa salah guna logo halal
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 3:48 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Sebuah syarikat pastri dan pengarah syarikat yang membekalkan roti ham dan keju kontroversi kepada cawangan KK Mart di kampus Universiti Malaya, hari ini 

dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya.

Mereka berdepan 14 pertuduhan menggunakan logo halal dan cap dagangan berdaftar tanpa kelulusan untuk membekalkan 366 sandwic pelbagai jenis.

Ewe Sarn Yeun, 65, dan syarikat Shake And Bake Cafe Sdn Bhd mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh dan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Berdasarkan enam pertuduhan, Ewe dan syarikatnya didakwa menawarkan untuk membekalkan produk makanan termasuk 50 Mixed Tuna Sandwich, 43 Mixed Potato Sandwich, 77 Mixed Chicken Sandwich, 74 Egg Mayo Sandwich, 66 Ham & Cheese Sandwich dan 56 Chili Crabstick Sandwich yang diperihalkan menggunakan logo halal Malaysia. Perbuatan itu bertentangan dengan Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat pastri terbabit di Sunway Damansara pada 12.50 tengah hari, 10 Jan lepas.

Ewe yang juga Ketua MCA bahagian Gopeng didakwa mengikut Perenggan 8(b) perintah sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syarikat itu pula didakwa mengikut Perenggan 8(a) perintah serupa yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan, jika sabit kesalahan.

Ewe dan syarikat itu turut menghadapi satu pertuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar, iaitu Logo Halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic di lokasi, tarikh dan waktu sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang berdepan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syarikat itu pula didakwa di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar manakala kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 bagi setiap barang, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi mencadangkan jaminan RM60,000 bagi setiap pertuduhan, mengambil kira ia kes berkepentingan awam.

Beliau turut memohon syarat tambahan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat KPDN Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh dan syarikat itu, memohon jaminan keseluruhan RM120,000 dengan alasan Ewe yang merupakan pemastautin tetap di Amerika Syarikat, mempunyai reputasi baik dan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

“Isu kepentingan awam yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan bukan terhadap tertuduh, sebaliknya terhadap satu syarikat lain yang tular di dada akhbar dan media sosial,” kata peguam itu.

Shafiq bagaimanapun, menegaskan bahawa pertuduhan itu berdasarkan video tular dalam media sosial, dan syarikat serta pengarah terbabit ialah pembekal kepada produk yang menjadi isu.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan kes pada 5 Mac ini dan membenarkan jaminan RM130,000 dengan tiga penjamin bagi kesemua pertuduhan serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Pada 11 Januari lalu, Universiti Malaya mengarahkan penutupan dua cawangan KK Mart di kampusnya berikutan status halal sandwicnya yang diragui.

Isu itu kemudiannya menjadi tular dan polemik di media sosial.

Pada 15 Januari lalu, Syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd berkata bahan digunakan untuk produk ham and cheese sandwic itu menggunakan ramuan yang mempunyai sijil halal.

Syarikat itu kemudian berkongsi salinan sijil Jakim untuk produk didaftarkan atas nama “Chicken Sandwich/ Ayam Sandwic” dan “Emborg burgers slices coloured” bagi kelulusan halal dari Austria.

Namun, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), walaupun seseorang atau syarikat pembekal mungkin mempunyai sijil halal bagi ramuan produknya, keadaan itu tidak secara automatik melayakkan produk berkenaan disahkan halal.

Isu itu bertambah runcing apabila pada 21 Januari lalu, apabila cawangan kedai runcit KK Mart yang terpalit kontroversi itu menjadi mangsa vandalisme dengan disimbah cat merah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS