Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agenda reformasi tetap berjalan, kata Pemuda Amanah

Pemuda Amanah hari ini mendakwa agenda reformasi yang diperjuangkan oleh PH selama ini terus berjalan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Cuma, kata ketuanya, Hasbie Muda, proses tersebut perlu mengambil sedikit masa untuk terlaksana sepenuhnya.

“Sebenarnya semua (proses reformasi) itu berjalan, tapi dia memang mengambil masa.

“Sebab itu kita sentiasa mendesak supaya disegerakan beberapa perkara, antaranya pemisahan kuasa di antara peguam negara dengan pendakwa raya, Akta Perhimpunan Aman, Akta Hasutan.

“Dan kita (Pemuda Amanah) yakin kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri memang ke arah itu, insya-Allah,” katanya ringkas dalam sidang media sempena Konvensyen Nasional Pemuda Amanah di Klang, Selangor, hari ini.

Hasbie berkata demikian sebagai mengulas rasa tidak puas hati sesetengah pihak yang membangkitkan keseriusan kerajaan melaksanakan janji reformasi mereka sebelum ini.

November lalu, Bersih memberikan pentadbiran pimpinan Anwar gred D bagi penilaian pertengahan penggal kerajaan Madani yang prestasi buruknya dikaitkan dengan kegagalan melaksanakan reformasi institusi dengan ketara.

Bersih turut meletakkan Anwar di belakang pendahulunya Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi mereka.

Pengerusi Bersih, Faisal Aziz berkata penilaian mereka berhubung dua tahun pertama kerajaan mendapati terdapat jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaan sebenar.

Menurutnya, walaupun Putrajaya mencapai "kemajuan tambahan" dari segi reformasi institusi, namun agenda reformasi utama masih tidak dipenuhi atau terbengkalai.

Antara kegagalan itu,  termasuk untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dan untuk memberi kuasa pengawasan parlimen dalam pelantikan ketua institusi utama seperti SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Kerajaan Madani juga didapati merosot dalam bidang kebebasan awam dengan Bersih mengkritik kegagalannya untuk memansuhkan atau meminda undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS