Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Himpunan antirasuah: Saya tiada masalah, kata Anwar
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 3:19 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Di sebalik pelbagai kritikan dan cemuhan bahawa pihak berkuasa cuba menyekat perhimpunan antirasuah di Kuala Lumpur esok, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan sebaliknya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), itu ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Pusat Islam UiTM Dengkil. Katanya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan perhimpunan itu.

“Kita tak ada masalah, kerajaan boleh memberi kebenaran (untuk berhimpun), malah kebenaran sudah diberikan Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail).

“Cuma ada tempat-tempat yang tidak diberi kebenaran untuk berhimpun. Tapi bagi saya tak ada masalah, buatlah, bantahlah (rasuah).

“Soalnya rasuah yang dibangkit-bangkit ini yang sekarang, saya jadi perdana menteri selama dua tahun, apa dia masalah rasuah? Kalau ada (himpunan lawan rasuah), saya tidak tolak usul, nak berhimpun, berhimpunlah,” katanya.

Anwar dan pemimpin PH tidak asing dengan protes jalanan, dengan menggerakkan puluhan ribu penyokong semasa era Reformasai, dan menyertai pelbagai demonstrasi lain, termasuk yang dianjurkan oleh Bersih.

Sebelum ini, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan esok, dengan alasan  bahawa notis penganjur tidak lengkap kerana tidak mendapat persetujuan daripada pemilik dan penghuni lokasi berkumpul itu.

Saifuddin Nasution dan Menteri Perhubungan Fahmi Fadzil sebelum ini turut mempertahankan pendirian pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Himpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ itu dijadualkan berlangsung esok di hadapan Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan isu rasuah yang dibangkitkan dalam perhimpunan tersebut wajar berlandaskan fakta dan tidak hanya memfokuskan isu-isu lama.

“Soalnya, rasuah ini yang dibangkit-bangkit sekarang - saya jadi perdana menteri selama dua tahun, apa dia masalah rasuah? Ini yang boleh ditumpukan.

“Dia (sesetengah pihak) bangkit soal-soal lama. Yalah sebahagian kita selesai sebahagian tak mampu kita selesai. Bila kita bangkitkan soal kehilangan berbilion-bilion ringgit, tak ada pula suara, tak ada pula sokong, malah ada yang mempertahankan pula.

"Kalau kamu orang kaya berbilion ringgit, ramai penyokong-penyokong. Pertahankan. Sekarang nak suruh lawan rasuah. Saya 'komited', kalau ada mana-mana pimpinan terbabit, beritahu, tiada masalah, kita akan tekan mereka,” katanya.

Anwar juga mengulas mengenai kes bekas Ketua Menteri Sabah - yang kini menjadi Yang di-Pertua Negeri itu - Musa Aman, yang sebelum ini dilepaskan daripada tuduhan rasuah semasa PAS dan Bersatu mentadbir negara.

“Jadi nak suruh saya ambil tindakan, tindakan apa? Ada yang dibangkitkan soal Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman... Itu dilepaskan masa mereka.

“Masa saya, bila SPRM buka balik fail, mereka kata tak boleh teruskan. Jadi, macam mana? saya nak dihujat dan dikecam dalam soal yang saya tak terlibat?” katanya.

Anwar juga memberi jaminan bahawa tiada toleransi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam rasuah sepanjang pentadbirannya.

“Dalam tempoh dua tahun ini, daripada peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi, kalau ada yang terlibat, saya tidak akan tolak ansur,” katanya.

Malah, menurut perdana menteri, perkara itu juga ditekankannya  dalam mesyuarat Jemaah Menteri, di Putrajaya, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS