Selepas diberi peringatan menjelang himpunan antirasuah esok, PAS hari ini memberi jaminan mereka tidak akan "menunggang" acara tersebut, sekali gus menjelaskan niat mereka untuk terlibat.
Kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, parti itu - khususnya pemuda - hanya hadir untuk menyatakan sokongan terhadap pengajuran program berkenaan.
"Adik-adik jangan bimbang, kami tidak akan tunggang himpunan ini. Silakan berhimpun.
"Pemuda PAS hanya nyatakan sokongan terhadap anda untuk berhimpun sahaja, kerana anda rakyat Malaysia yang bebas.
"Jadi sepatutnya tiada halangan untuk anda berhimpun atas apa jua sebab," katanya dalam kenyataan umum.
Dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, PAS tidak mampunyai halangan untuk ahli parti menyertai perhimpunan berkenaan atas nama individu dan bukan bukannya parti secara rasmi.
Kebenaran tersebut, tambah Ahmad Fadhli, sama seperti keizinan parti untuk mana-mana ahlinya berkunjung ke lokasi awam seperti pasar malam atau masjid.
"Ia atas nama individu, bukan atas nama ahli PAS," katanya.
Terdahulu, gerakan mahasiswa yang menggerakkan Himpuran Rakyat Benci Rasuah itu menyambut baik sokongan pemuda dari PAS dan Bersatu untuk menyertai demonstrasi di tengah Kuala Lumpur esok.
Namun, sekretariat itu memberi ingatan kepada parti-parti politik supaya jangan menjadi hipokrit dan menunggang populariti himpunan untuk kepentingan mereka.
“Pesanan kami kepada Pemuda PAS dan Armada (Pemuda) Bersatu: Kami menjemput anda turut sertai himpunan ini kerana ini merupakan himpunan untuk semua warga tanpa kira latar belakang parti atau ideologi.
"Tapi kami memberi amaran supaya jangan membawa logo, slogan, nama, dan imej parti ketika menyertai himpunan 25 Jan ini.
"Himpunan ini sepenuhnya milik rakyat dan bukan kepunyaan parti politik untuk ditunggang.
"Kalau anda didapati menunggang himpunan ini, rakyat tidak akan terkial-kial untuk menendang kamu keluar daripada himpunan serta pilihan raya akan datang,” kata mereka pada satu kenyataan semalam.
Menjelaskan pendiriannya lebih lanjut, Ahmad Fadhli turut memberi jaminan bahawa tiada bendera atau sebarang logo PAS akan berkibar di himpunan itu esok.
Malah, katanya, jika ada sebarang bendera atau logo dipamerkan, PAS akan bertindak sewajarnya.
"Saya beri jaminan, tiada bendera PAS yang akan berkibar esok di himpunan ini.
"Jika ada, mohon buat rakaman individu berkenaan untuk disiasat dan dikenakan tindakan jika merupakan ahli parti kami," katanya lagi.