Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah alu-alukan ahli sertai demo antirasuah esok
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 2:29 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Pemuda Amanah mengalu-alukan anggota partinya untuk turut serta dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan di ibu negara, esok.  

Malah, ketua pemudanya, Mohd Hasbie Muda berkata parti itu menyokong penuh himpunan terbabit dan berharap pihak kerajaan tidak mengambil langkah ke belakang dengan menyekatnya.  

“Kita memang menggalakkan ahli-ahli kita (untuk menyertai himpunan antirasuah esok). Atas semangat menentang rasuah ini, kita galakan Pemuda Amanah untuk turun bersama.  

“Dan pendirian kita dalam isu himpunan (antirasuah) esok adalah kita menyokong himpunan itu diadakan.  

“Jadi, kita harap kerajaan tidak mengambil langkah-langkah yang ke belakanglah, sama ada menyekat, tidak membenarkan dan sebagainya. Melainkan sekiranya mereka melakukan perkara yang provokatif, selebihnya itu saya ingat tak perlu ambil tindakan,” katanya dalam sidang media di Konvensyen Pemuda Nasional Amanah 2024, di Klang, Selangor, hari ini.  

Hasbie berkata demikian mengulas penyertaan parti itu dalam himpunan esok.  

Bagaimanapun, Hasbie berkata barisan kepimpinan parti itu tidak dapat turut serta kerana program terbabit berselisih dengan Konvensyen Amanah di Klang.  

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berdepan kritikan hebat atas tindakan pihak berkuasa menyekat perhimpunan yang akan berlangsung pada hujung minggu ini di Kuala Lumpur.  

Ramai menteri kerajaan hari ini termasuk Anwar pernah memimpin dan menyertai demonstrasi jalanan ketika PH menjadi pembangkang.  

Polis mendakwa penganjur gagal mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat persetujuan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai ‘pemilik’ tapak Dataran Merdeka.  

Mengulas lanjut sekatan yang dikenakan kepada penganjur himpunan, Hasbie berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan segera meminda Akta Perhimpunan Aman 2012.  

“Isu yang berbangkit dalam himpunan esok ialah mereka tak dapat kebenaran pemilik. Sebab itu saya sebutkan tadi kita harap akta himpunan itu dipinda kerana semangat akta perhimpunan itu ialah untuk memudahkan rakyat berhimpun.  

“Tapi apabila notis itu masih dikekalkan, mereka perlu mengisi butiran lanjut termasuk kebenaran pemilik atau pun premis. Itu adalah benda yang hampir mustahil untuk diperoleh.  

“Jadi, sebab itu kita harap kerajaan segera pinda (akta himpunan tersebut) supaya tidak ada keperluan untuk mendapatkan kebenaran daripada pemilik tempat awam,” katanya.  

Tegas Hasbie, lokasi himpunan juga dinamakan sebagai tempat awam.  

“Jadi, bagi tempat awam ini kita harap dah memang dibenarkan oleh kerajaan dan kita memang menggalakkan ahli kita atas semangat menentang rasuah ini untuk turun bersama,” tambahnya.  

Satu perhimpunan bertemakan 'Rakyat Benci Rasuah' dijadual berlangsung esok di ibu negara.  

Perhimpunan tersebut dikatakan susulan kepada perhimpunan Ambang Tahun Baru yang diadakan di Sabah baru-baru ini, yang dianjurkan oleh golongan pelajar untuk membantah ahli politik negeri yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS