Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Kuala Lumpur esok adalah usaha pembangkang yang menggunakan NGO dan mahasiswa untuk keuntungan politik sendiri, dakwa Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub.
"Kita tahu ada usaha pembangkang yang menggunakan NGO dan mahasiswa dengan memperalatkan mereka bagi mendapat political mileage menjelang PRU 16.
"Oleh itu Veteran menyeru mereka supaya jangan terpedaya dan terperangkap dengan strategi licik pembangkang yang hanya pentingkan kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perhimpunan itu dijadualkan berlangsung di luar pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Sekretariat perhimpunan antirasuah bertegas untuk meneruskan demonstrasi yang dijadualkan pada 25 Januari meskipun mendapat amaran daripada pihak polis.
Terdahulu, Mustapha juga mempersoalkan tindakan penganjur memuat naik gambar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Najib Abdul Razak dalam poster atau iklan perhimpunan itu.
"Veteran Umno tidak berminat untuk membuat sebarang komen tentang perhimpunan itu. Itu hal mereka dengan pihak polis dan pihak lain yang terlibat seperti DBKL(Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur).
"Veteran hanya berminat untuk mendapat penjelasan penganjur kenapa gambar Zahid dimuatkan dalam poster atau iklan perhimpunan itu.
"Kes Zahid telah selesai seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah. Kes Najib juga telah selesai bila didapati bersalah oleh mahkamah. Jadi kenapa Zahid dan Najib menjadi sasaran?
“Ternyata perhimpunan itu berniat jahat untuk memburukkan pemimpin Umno dan menutup amalan rasuah orang lain," katanya.
Cermin diri, kata AMK
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Ketua Penerangan Pemuda PKR Wilayah Persekutuan Muhammad Azha Salahudin berkata Pemuda PAS perlu cermin diri dan buktikan bahawa PAS menolak rasuah dengan membersihkan perasuah yang ada dalam parti itu.
"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemuda PAS untuk turut sertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan pada hari Sabtu ini jelas menunjukkan sikap hipokrit dan munafik pada wajah pemimpin pemuda PAS,” katanya.
"Umum mengetahui bahawa terdapat dua kerusi Parlimen iaitu Kemaman dan Kuala Terengganu yang dimenangi oleh PAS pada PRU15 yang lalu telah dibatalkan oleh mahkamah kerana telah dibuktikan bahawa terdapat unsur rasuah kepada pengundi.
"Jelas terbukti bahawa PAS bukanlah parti yang layak untuk bercakap soal anti rasuah sedangkan PAS sendiri mengamalkan dan menghalalkan perbuatan rasuah dengan mengeluarkan hukum dan fatwa untuk kepentingan kuasa dan kedudukan politik mereka.”
Sebelum ini, Pemuda PAS dan Bersatu menyatakan komitmen untuk turut serta dalam himpunan itu di ibu negara.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi berkata, himpunan ini merupakan manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.