BICARA 1MDB l Selepas 26 hari, bekas perdana menteri Najib Razak selesai memberi keterangan untuk membela dirinya dalam perbicaraan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan pagi ini menamatkan keterangan lisan di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya.
Bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB itu memulakan keterangannya pada 2 Disember lalu, selepas diarahkan untuk membela diri terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Sepanjang tempoh itu, Najib, 71, melalui pemeriksaan utama oleh peguam bela utamanya, Muhammad Shafee Abdullah, pemeriksaan balas oleh beberapa timbalan pendakwa raya termasuk Kamal Baharin Omar dan Ahmad Akram Gharib, serta pemeriksaan semula oleh Shafee.
Selepas Najib dilepaskan dari kandang saksi hari ini, Shafee memaklumkan kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa mereka telah mengemukakan satu penghakiman mahkamah jenayah yang berasingan berkaitan 1MDB.
Katanya, keputusan itu adalah berkenaan pembebasan Najib dalam kes jenayah berasingan melibatkan dakwaan salah laku dalam laporan audit 1MDB.
Shafee juga memaklumkan bahawa mereka akan memanggil 25 saksi lain untuk memberi keterangan bagi pihak Najib. Mereka termasuk tiga peguam, dua pengarah syarikat dan beberapa individu yang menemai Najib semasa pertemuan dengan Raja Arab Saudi, al-marhum Raja Abdullah pada Januari 2010.
Perbicaraan akan disambung semula pada 10 Februari.
‘Derma politik Arab Saudi’
Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah mengarahkan Najib untuk membela diri atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan 50 saksi.
Bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada 2018, dan perbicaraan bermula pada tahun berikutnya. Peringkat pendakwaan perbicaraan berlangsung selama enam tahun.
Sepanjang perbicaraan jenayah itu, Najib menegaskan bahawa dia tidak mengetahui atau terlibat dalam sebarang salah laku 1MDB, dan semua penyelewengan tersebut didalangi oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) serta pihak pengurusan 1MDB.
Tertuduh juga bergantung pada pembelaan bahawa dia percaya wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah derma politik dari Arab Saudi, seperti yang dijanjikan oleh almarhum Raja Abdullah.