Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) Jontih Enggihon tidak gentar dengan tindakan firma itu untuk memulakan prosiding undang-undang terhadapnya.
Sambil menyifatkan apa yang berlaku sekarang sebagai “open game” atau "perlawanan terbuka" dia mengibaratkannya sebagai perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris.
“Open game now. Kamu stok la kacang banyak-banyak macam tunggu EPL Live,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Jontih, prosiding undang-undang itu akan membolehkannya mengemukakan semua bukti dalam simpanannya, yang sehingga kini dikhaskan untuk pihak berkuasa.
“Peluang bagi saya telanjangkan semua yang selama ini saya ditegah dedahkan kepada awam kerana diguna sebagai bahan bukti semasa siasatan pihak-pihak berkuasa,” katanya.
Semalam, SMM mengumumkan sudah memulakan prosiding undang-undang terhadap Jontih Enggihon serta pihak ketiga yang dikenali sebagai Tei Jiann Chieng, yang turut dikenali sebagai Albert Tei.
Firma itu berkata prosiding undang-undang bagi menangani dakwaan serius salah laku dan pecah amanah membabitkan bekas kakitangan syarikat itu dan pihak luar.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang mengurus sektor perlombongan di Sabah itu mengambil tindakan berkenaan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan ganti rugi atas penipuan, pelanggaran tugas fidusiari dan kerahsiaan.
Sebelum ini, Jontih mendakwa dia mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya bahawa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang merupakan pengerusi SMM, "menyalahgunakan kuasanya".
Dakwanya, bukti yang dimaksudkannya adalah “minit mesyuarat lembaga pengarah SMM”, “nota penerangan bercetak kepada ketua menteri” daripadanya dan “pesanan teks daripada ketua menteri”.
“Semua bukti ini disimpan dengan selamat oleh seseorang, di suatu tempat. Saya sanggup untuk menyerahkannya kepada SPRM,” kata Jontih kepada Malaysiakini.
November lalu, Malaysiakini menyiarkan video yang memaparkan Jontih sebagai mendakwa Hajiji memihak kepada orang tertentu dan dia perlu mematuhi keputusan yang tidak dipersetujuinya.
Susulan itu, satu laporan telah dibuat kepada SPRM terhadap Jontih, menuduhnya menyalahgunakan kuasa.
Pada 18 Nov, pengganti Jontih, Natasha Sim mengumumkan bahawa SMM akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas CEO itu yang didakwa bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk memberi
Pada 4 Dis, Jontih, yang menafikan dakwaan itu, mengulangi dia mempunyai bukti untuk menyokong tuntutannya terhadap ketua menteri dan penggantinya. Malah katanya, bahawa dia akan memfailkan saman RM30 juta terhadap Sim.
Selasa lau, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan ke atas Jontih dan pemberi maklumat yang mendedahkan beberapa video telah selesai dan hasil siasatan telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya.