Zaid Ibrahim mencadangkan agar pembangkang mengemukakan usul bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bagi menjamin institusi kehakimah terus terpelihara.
Merujuk kenyataan bersama oleh sembilan bekas Badan Peguam Malaysia, Zaid berkata, usul itu perlu digerakkan oleh ketua pembangkang, Hamzah Zainudin, di parlimen.
"Walaupun hakim bersara pada usia 66 tahun, kerajaan boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan perkhidmatan beliau secara kontrak.
"Itulah satu-satunya cara kita dapat mengekalkan kepemimpinan beliau (Tengku Maimun), menjaga kebebasan badan kehakiman dan yang lebih penting, memastikan hakim-hakim terbaik dinaikkan pangkat berdasarkan merit," katanya di X.
Bekas Menteri Undang-Undang itu berkata, dia yakin usul itu akan diluluskan kerana majoriti ahli parlimen mahukan hakim-hakim yang berwibawa, bijak, dan bebas menghakimi sesuatu kes.
Dia juga menganggap kenyataan bekas presiden Badan Peguam Malaysia - yang menyuarakan kebimbangan terhadap campur tangan kerajaan dalam pelantikan hakim - sebagai "penilaian yang sangat mengecewakan" ke atas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
"Apabila saya mencadangkan beliau (Anwar) harus meletak jawatan kerana isu adendum (berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak), anda kata saya melampau.
"Sekarang, seluruh badan kehakiman pula terancam, dan digambarkan oleh sembilan bekas presiden Badan Peguam sebagai lebih buruk berbanding ketika era Dr M (bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad). Itu sesuatu yang bermakna," tambahnya.
Dalam kenyataan mereka, sembilan bekas Presiden Badan Peguam Malaysia menyatakan kerajaan Madani secara meluas dilihat gagal dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman berbanding dengan tiga pentadbiran terdahulu.
"Tekanan yang dikenakan terhadap badan kehakiman dalam beberapa tahun kebelakangan ini oleh pihak luar jelas kelihatan kepada ramai daripada kami yang memahami tanda-tandanya dengan baik.
"Secara meluas dilihat bahawa kerajaan terdahulu lebih menghargai dan menghormati kebebasan badan kehakiman berbanding kerajaan sekarang, yang setidak-tidaknya sangat mengecewakan," kata mereka dalam kenyataan tersebut.
Sembilan individu yang menandatangani kenyataan itu adalah Zainur Zakaria, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeoh Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Lim Chee Wee, Christopher Leong dan Steven Thiru.
Ia dikeluarkan susulan kenyataan Tengku Maimun mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.
Dalam ucapan semasa Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang pada 8 Jan lalu, Tengku Maimun menyatakan bahawa perkara itu adalah serius dan perlu disiasat.
Dia juga mengingatkan Anwar untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan merujuk kepada kenyataan berkenaan mengenai perkara itu ketika menjadi ketua pembangkang.