Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi ingatkan Pemuda PAS: Musa bebas ketika kamu jadi kerajaan
Diterbitkan:  Jan 24, 2025 11:15 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Aktivis yang juga pereka grafik satira Fahmi Reza hari ini menyindir penglibatan Pemuda PAS dalam himpunan antirasuah yang dirancang diadakan esok.

Menganggap tindakan tersebut sebagai lucu, Fahmi berkata mungkin Pemuda PAS menganggap rakyat Sabah lupa kaitan parti itu dengan kes rasuah sebelum ini.

Dia berkata bekas Ketua Menteri Sabah - yang kini menjadi Yang di-Pertua Negeri itu - Musa Aman, dilepaskan daripada tuduhan rasuah semasa PAS menjadi kerajaan.

"Pemuda PAS fikir rakyat Sabah lupa, semasa mereka jadi kerajaan bersama PN, merekalah yang melepaskan dan membebaskan 'Koruptor No 1 Sabah' Musa Aman daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram," tulisnya dalam hantaran di Facebooknya.

Tambah Fahmi - yang mencetuskan kontroversi dengan menghasilkan karikatur Musa baru-baru ini - ahli politik terbabit dikaitkan dengan kontrak konsesi balak di Sabah.

Untuk rekod Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Musa daripada semua tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada 9 Jun 2020.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas timbalan pendakwa raya, Azhar Abdul Hamid, memberitahu bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan PN ketika itu.

Fahmi baru-baru ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung karikatur yang mengkritik Musa.

Mahkamah Anak Negeri Keningau juga menuntut pampasan daripada Fahmi ekoran tindakannya menghasilkan karikatur Musa.

Semalam, sekretariat Himpunan Rakyat Benci Rasuah mengalu-alukan sokongan Pemuda PAS dan Pemuda Bersatu untuk menyertai protes itu tetapi mengingatkan mereka supaya tidak mempolitikkan acara berkenaan.

"Pesanan kami kepada Pemuda PAS dan Armada Bersatu: Kami menjemput anda turut serta himpunan ini kerana ini merupakan himpunan untuk semua warga tanpa kira latar belakang parti atau ideologi.

"Tapi kami memberi amaran supaya jangan membawa logo, slogan, nama, dan imej parti ketika menyertai himpunan 25 Januari ini.

"Himpunan ini sepenuhnya milik rakyat dan bukan kepunyaan parti politik untuk ditunggang," katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS