Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengumumkan pelantikan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Keputusan ini dilihat sebagai langkah berani dan strategik dalam usaha memperkukuh struktur pengurusan bola sepak negara yang memerlukan sentuhan profesional bertaraf antarabangsa.
Rob Friend bukanlah nama asing dalam dunia bola sepak global.
Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Kanada, beliau pernah beraksi di pentas bola sepak antarabangsa sebagai penyerang prolifik, dengan mencatatkan 32 penampilan untuk skuad kebangsaan Kanada antara tahun 2003 hingga 2011.
Antara kelab ternama yang pernah diwakilinya termasuk Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, dan LA Galaxy.
Namun, keunikan Friend bukan sekadar pada pencapaiannya sebagai pemain, tetapi transformasinya selepas bersara sebagai pemimpin dan pengurus bola sepak profesional.
Sejurus bersara pada tahun 2014, Friend mula mencipta nama dalam dunia pengurusan dengan menjadi pengasas bersama Canadian Premier League (CPL), sebuah liga yang pada awalnya tidak dikenali tetapi berjaya berkembang menjadi liga bernilai AS$300 juta hanya dalam tempoh enam tahun.
Beliau turut menerajui Pacific FC sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (2019-2022) dan kini memegang jawatan Presiden Vancouver FC sejak 2022.
Kejayaannya dalam membangunkan kelab dan fasiliti bola sepak, termasuk pembinaan stadium dan pusat latihan moden, membuktikan kemampuannya mengurus organisasi bola sepak dengan cemerlang.
Mengapa pilih Friend
Berdasarkan dimensi kompetensi yang merangkumi pengetahuan, kemahiran, keupayaan, dan sikap, sememangnya pelantikan Friend menepati kriteria seorang pemimpin bola sepak moden yang berprestasi tinggi dan mampu membawa perubahan strategik kepada pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Dari aspek pengetahuan, Friend memiliki pemahaman mendalam tentang ekosistem bola sepak profesional, khususnya dalam membangunkan liga yang kompetitif, pembangunan fasiliti berkelas dunia dan program pembangunan bakat.
Pengalamannya membangunkan CPL yang kini menjadi salah satu liga bola sepak berkembang pesat di Amerika Utara mencerminkan kefahaman strategiknya dalam aspek pengurusan bola sepak di peringkat global.
Dari sudut kemahiran, Friend telah membuktikan keupayaannya dalam merangka strategi pengurusan yang berkesan, termasuk mengurus operasi kelab, penajaan, pemilihan pemain, dan pembangunan fasiliti latihan yang sistematik.
Pengalaman Friend dalam membangunkan Pacific FC dan Vancouver FC daripada kelab baru kepada jenama yang stabil membuktikan kemahiran beliau dalam pengurusan sumber manusia, kewangan, dan pemasaran yang berimpak tinggi.
Keupayaan Friend jelas terserlah dalam mencipta impak positif dalam arena bola sepak.
Beliau telah mengubah CPL daripada sebuah liga yang tidak dikenali kepada entiti bernilai AS$300 juta dalam tempoh hanya enam tahun.
Keupayaan ini menunjukkan kebolehannya dalam membina nilai jangka panjang kepada kelab dan liga, satu aspek penting yang boleh dimanfaatkan FAM dalam memperkukuh struktur bola sepak negara.
Dari perspektif sikap, Friend dikenali sebagai seorang pemimpin yang berintegriti dan menekankan ketelusan dalam setiap keputusan yang dibuat.
Prinsip profesionalisme yang tinggi ini amat penting dalam membina kepercayaan dalam kalangan pemegang taruh bola sepak negara, termasuk pemain, jurulatih, penyokong dan pihak penaja.
Cabaran
Walaupun Friend membawa rekod cemerlang, beliau bakal berdepan dengan cabaran unik dalam konteks bola sepak Malaysia yang dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi, geografi, sosiobudaya, dan isu pemain naturalisasi.
Perbezaan sosioekonomi antara negeri mungkin memberi cabaran dalam memastikan akses sama rata kepada fasiliti latihan yang berkualiti.
Kawasan metropolitan seperti Kuala Lumpur dan Selangor menawarkan infrastruktur sukan yang lebih maju, manakala negeri seperti Sabah dan Sarawak memiliki potensi besar dengan bakat sukan yang melimpah.
Keadaan ini boleh diperkasakan melalui perancangan jangka panjang yang lebih inklusif bagi memastikan pembangunan bola sepak yang seimbang di seluruh negara.
Dari sudut geografi, Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia dan kepulauan Borneo menghadapi cabaran logistik yang ketara, terutama dalam memastikan penyertaan dan latihan yang konsisten bagi semua pemain dari seluruh negara.
Koordinasi perlawanan liga dan program latihan di semua zon memerlukan perancangan yang lebih teliti.
Sosiobudaya Malaysia yang pelbagai turut menjadi faktor penting yang perlu difahami Friend.
Setiap negeri dan komuniti membawa gaya permainan yang unik, selain norma budaya yang mempengaruhi hubungan antara pemain, jurulatih, dan pengurusan.
Pendekatan Friend perlu menghormati elemen budaya tempatan sambil memperkenalkan sistem pengurusan bertaraf antarabangsa.
Salah satu cabaran terbesar ialah isu pemain naturalisasi dan bakat tempatan.
Bola sepak Malaysia kini berhadapan dengan ketidakseimbangan antara penggunaan pemain naturalisasi dan pembangunan bakat tempatan.
Friend perlu memastikan terdapat keseimbangan yang adil dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan yang berkelanjutan tanpa mengabaikan sumbangan pemain naturalisasi yang berpotensi.
Pelantikan Rob Friend sebagai CEO Harimau Malaya adalah satu langkah berani yang diambil FAM dalam usaha memperkukuh pengurusan bola sepak negara.
Dengan pengalaman luas dan pencapaian yang cemerlang dalam arena bola sepak antarabangsa, Friend dilihat sebagai individu yang berpotensi membawa perubahan positif dalam jangka masa panjang.
MOHD FIRDAUS ABDULLAH merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected].
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.