Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KK Mart sandwic 'ham' disimbah cat merah tidak wajar - Lee
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 10:09 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Semua pihak digesa berfikir dan bertindak secara rasional serta bijak dalam insiden penjualan sandwic ham and cheese di sebuah kedai serbaneka baru-baru ini, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau yang menyokong seruan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang supaya semua pihak bertenang dan mengawal diri, berkata isu sensitif perlu dikendalikan melalui saluran yang betul bagi mengelakkan suasana tidak harmoni serta menjadi tidak terkawal.

"Isu berkaitan penjualan sandwic itu telah dilaporkan kepada polis dan kini dalam siasatan.

"Serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan adil dan telus,” katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Tan Sri Lee Lam Thye.

Menyifatkan insiden menyimbah cat merah di sebuah kedai serbaneka KK Mart pada Selasa lepas, sebagai perbuatan provokasi, Lee bimbang ia boleh membawa kesan lebih serius jika dibiarkan tanpa tindakan.

“Kejadian menyimbah cat merah ini tidak boleh diterima dan memberi tamparan kepada cara hidup kita yang harmoni,” katanya.

Lee berkata tiada siapa wajar mengeksploitasikan insiden itu dan mengambil tindakan sendiri atau melakukan perbuatan bersifat provokasi yang memburukkan keadaan.

“Perjalanan ke arah kemajuan ialah melalui keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati, bukannya menerusi tindakan provokasi, pencerobohan dan tidak bertoleransi.

“Mari kita bersama-sama memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan ikatan antara kita kekal kukuh semasa berdepan kesukaran,” kataya.

Semalam, media melaporkan sebuah kedai serbaneka KK Mart di universiti tempatan disimbah cat merah pada Selasa, susulan isu penggunaan logo halal pada sandwic ham and cheese.

Pada 13 Jan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kenyataan memaklumkan produk yang dijual itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) selain syarikat yang menghasilkan sandwic itu bukan pemegang SPHM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS