Bekas timbalan menteri undang-undang Mohamed Hanipa Maidin membidas pemimpin Umno Mohd Puad Zarkashi selepas ketua Umno itu menegur bekas timbalan menteri itu kerana meminta presiden Amanah meletak jawatan berhubung tindakan pihak berkuasa menghalang perhimpunan anti rasuah pada 25 Jan.
Hanipa berkata dia tidak akan mengambil serius pandangan sesiapa yang mempertahankan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
“Apabila saya meminta presiden Amanah meletakkan jawatan, seorang pemimpin Umno mengutuk saya dan mempertahankannya.
“Saya boleh membalas kutukan beliau tetapi mengapa saya harus buat begitu?
"Sesiapa sahaja yang tidak teragak-agak untuk mempertahankan atau menyokong Najib, pada pandangan saya, tidak boleh dipandang serius,” kata Hanipa di Facebook hari ini.
Semalam, Hanipa mencabar Presiden Amanah Mohamad Sabu meletakkan jawatan menteri sekiranya kerajaan menghalang perhimpunan itu.
"Saya menghabiskan sebahagian besar hidup saya sebagai peguam bela mewakilinya, terutamanya dalam kes yang melibatkan hak untuk berhimpun secara aman.
"Kadang-kadang, saya sendiri ditangkap kerana mempertahankan haknya," katanya kepada Malaysiakini.
Walau bagaimanapun, Puad menolak desakan Hanipa dan menyifatkan tuntutan supaya menteri meletak jawatan sebagai taktik ketinggalan zaman.
“Saya yakin Hanipa tidak akan letak jawatan jika perhimpunan anti rasuah diteruskan masa dia jadi timbalan menteri yang jaga undang-undang dulu.
"Maka desakan dia supaya Mohamad Sabu letak jawatan menteri tidak relevan. Itu cara politik lama bila kamu sudah tidak lagi berjawatan," kata ahli majlis tertinggi Umno itu.