Seorang pemimpin Pemuda Umno menyokong hak rakyat untuk berhimpun secara aman pada himpunan antirasuah anjuran mahasiswa yang akan berlangsung Sabtu ini.
Setiausaha Pemuda Umno, Hafiz Ariffin berkata pihak berkuasa sepatutnya membenarkan perhimpunan berkenaan selagi ia mematuhi garis panduan keselamatan dan undang-undang.
Kata Hafiz, ia selaras dengan hak rakyat untuk bersuara.
"Saya percaya pada hak rakyat untuk berhimpun secara aman. Walaupun perhimpunan antirasuah yang dijadualkan pada hari Sabtu ini mendapat halangan, saya berpendapat bahawa selagi ia mematuhi garis panduan keselamatan dan undang-undang, ia sepatutnya dibenarkan.
"Ini penting untuk memastikan hak kebebasan bersuara dan berhimpun terjamin," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu sekretariat perhimpunan antirasuah itu bertegas untuk meneruskan demonstrasi yang dijadualkan pada 25 Januari meskipun mendapat amaran daripada pihak polis.
Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman sebelum ini, memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan berkenaan atau tindakan tegas akan diambil.
Sulizmie berkata notis yang diberikan penganjur tidak lengkap, selain tidak mendapat persetujuan daripada pemilik tempat berhimpun.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil pula mempertahankan tindakan pihak berkuasa.
Pemuda PAS dan Bersatu awal hari ini turut menyatakan komitmen turut serta dalam himpunan yang digelar Himpunan Rakyat Benci Rasuah.
Sementara Ketua Pemuda PKR yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim semalam mengingatkan kerajaan agar tidak khuatir dengan suara anak-anak mahasiswa.
Mengulas lanjut, Hafiz berkata kerajaan tidak perlu menyekat kumpulan berkenaan untuk berhimpun selagi berlangsung dengan penuh tanggungjawab.
"Sebarang usaha untuk menyekat kebebasan awam adalah tindakan yang regresif dan menunujukkan ada kelemahan.
"Selagi ia dilakukan dengan tanggungjawab dan aman sepatutnya ia tidak perlu mejadi satu masalah," katanya lagi.