Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adam tak sekat ahli AMK turun demo, tapi jangan tunggang

Pemuda PKR (AMK) tiada halangan untuk ahlinya turut serta dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah di ibu negara, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Ketua AMK Adam Adli mengingatkan ahlinya yang ingin menyertai supaya tidak mengambil alih himpunan anjuran mahasiswa itu.

"Tiada halangan untuk AMK sertai, tetapi dilarang untuk menunggang atau hijack himpunan mahasiswa tersebut.

"Jangan ambil kesempatan ke atas pergerakan mahasiswa seperti yang cuba dibuat parti lain.

Sekretariat mahasiswa penganjur himpunan benci rasuah.

"Perbuatan hijack oleh orang politik ini dari dahulu lagi hanya mengundang cemuhan. Ianya mencemarkan kebebasan pergerakan mahasiswa itu. Mahasiswa biarkan mereka ada suara dan kebebasan sendiri," katanya menjawab pertanyaan Malaysiakini mengenai pendirian AMK berhubung himpunan yang diadakan di Kuala Lumpur.

Adam yang juga bekas pemimpin Bersih, yang terkenal dengan siri demonstrasi mega berkata kerajaan tidak perlu khuatir dengan suara anak-anak mahasiswa .

"Ini himpunan oleh mahasiswa, biar mereka yang ketuai, mereka yang susun, mereka yang bersuara. Ini ruang mereka.

"Orang politik jangan ambil kesempatan dengan cuba untuk tunggang dan ambil kredit dari perjuangan anak-anak muda ini," katanya.

Terdahulu, Adam yang juga timbalan menteri belia dan sukan menggesa Putrajaya menghormati hak anak muda untuk berhimpun.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berdepan kritikan hebat atas tindakan pihak berkuasa menyekat perhimpunan yang akan berlangsung pada hujung minggu ini di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, ramai menteri kerajaan hari ini termasuk Anwar pernah memimpin dan menyertai demonstrasi jalanan ketika PH menjadi pembangkang.

Polis mendakwa penganjur gagal mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat persetujuan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai ‘pemilik’ tapak Dataran Merdeka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS